Aidiladha: Pasar Besar Siti Khadijah sesak, ramai beli keperluan saat akhir

Pasar Besar Siti Khadijah
Pasar Besar Siti Khadijah
A
A
A

KOTA BHARU - Pasar Besar Siti Khadijah sesak berikutan orang ramai mulai sibuk mengunjungi pasar itu untuk membeli barangan keperluan terutamanya barangan basah sebagai persiapan di saat akhir bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada esok.

Tinjauan Bernama di Pasar Besar Siti Khadijah mendapati orang ramai mula memasuki perkarangan pasar seawal jam 7 pagi untuk membeli bahan mentah seperti ayam, santan, ikan, pelbagai sayuran dan juga rempah ratus untuk persiapan hari raya yang kurang dari 24 jam sahaja lagi.

Pengunjung, Noramalina Shukri, 34, dari Kampung Tiong berkata, dia lebih gemar membeli barangan basah di pasar itu memandangkan banyak pilihan ditawarkan sekali gus memudahkan urusannya untuk memperoleh kesemua senarai barangan hanya di bawah satu bumbung.

"Saya berkunjung ke pasar pada pagi ini untuk beli barangan keperluan bagi menyediakan juadah lontong dan juga rendang selain beberapa menu lain yang akan dihidangkan pada esok hari. Setakat ini harga barangan juga berpatutan walaupun di musim perayaan,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Seorang lagi pengunjung Ainy Md Yunos, 72, berkata, kepulangan anak-anak serta cucu-cucu ke rumahnya pada Hari Raya Aidiladha pada kali ini membuatkan dia membuat persiapan lebih meriah untuk menyambutnya.

"Saya membelanjakan lebih RM300 untuk membeli barangan keperluan bahan basah walaupun terpaksa beratur untuk mendapatkan barangan kerana orang ramai,” katanya.

Peniaga santan Nurul Asya Syaqira Maulana, 20, berkata, dia terpaksa meningkatkan pengeluaran santan segar yang diusahakan hampir lapan kali ganda pada hari ini untuk memenuhi keperluan orang ramai berbanding pada hari biasa.

"Jika pada hari biasa saya hanya memperuntukkan sekitar 100 biji kelapa sebagai jualan harian namun pada hari ini sebanyak 800 biji kelapa telah diproses bagi memastikan bekalan santan mencukupi kepada orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, aliran trafik di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang pada pagi ini lancar dan terkawal meskipun terdapat peningkatan kenderaan menjelang Aidiladha ini berbanding hari biasa.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata, polis bersedia untuk melaksanakan pelbagai kaedah sekiranya berlaku kesesakan yang teruk, dan semalam polis terpaksa melakukan lima kali ‘penarikan trafik’ bagi meredakan kesesakan di Kampung Mentara bersempadan Merapoh, Pahang.

Choon Foo berkata, penarikan trafik membolehkan satu lorong yang sesak dengan kenderaan dibuka menjadi dua lorong, pada masa sama lorong dari arah bertentang yang kurang dilalui kenderaan, ditutup sejauh sekurang-kurangnya lima kilometer bagi tempoh 10 sehingga 20 minit.

Seorang perantau Mohd Ashraf Ramli, 30, berkata, dia yang bertolak dari Jerantut, Pahang, mengambil keputusan untuk mengikut laluan Felda Kechau dan mengambil susur keluar ke Chegar Perah, Pahang untuk mengelak daripada tersangkut dalam kesesakan trafik.

"Apabila melihat jalan tidak sesak saya mengambil keputusan untuk menggunakan lebuh raya Lingkaran Tengah Utama dan kenderaan menjadi perlahan seketika di penghujung lebuh raya kerana dua lorong menjadi satu,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!