Pusat cucian kereta jadi tumpuan menjelang raya
JOHOR BAHRU – Selain melakukan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, pusat cucian kereta turut menjadi tumpuan orang ramai bagi memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan terbaik pada musim cuti perayaan kali ini.
Tidak hairanlah, setiap hari pusat mencuci kereta ini akan dikunjungi pelanggan bagi mendapatkan khidmat cucian kenderaan masing-masing.
Bagi pemilik NT Car Wash di Gelang Patah, Nik Shahrul Rizzuan, 32, keadaan itu senario biasa, namun ia secara tidak langsung memberi limpahan rezeki kepadanya apabila pusat cuciannya dikunjungi pelanggan.
Malah katanya, selain mendapatkan khidmat mencuci kereta, ada juga yang datang menghantar motosikal untuk dicuci.
“Boleh kata, setiap hari ada sahaja orang yang datang ke sini untuk cuci kereta.
"Alhamdulillah, kalau ikut perkiraan, memang ada peningkatan sikitlah terutamanya bila dekat-dekat nak raya ni," katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan mengenai perniagaan cuci kereta yang diusahakan, Nik Shahrul berkata, dia mula mengusahakan perniagaan tersebut sekitar 2015 lalu bersama isteri dan dua anak lelakinya.
Katanya, biarpun hanya secara kecil-kecilan namun perniagaannya itu nyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
“Benarlah kata orang, rezeki ada di mana-mana dan saya bersyukur kerana bisnes cuci kereta saya ni mendapat sambutan yang agak baik daripada orang ramai.
“Alhamdulillah, hasil pendapatan daripada bisnes cuci kereta ini mampu menyara kehidupan saya serta keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Nik Shahrul berkata, ketika ini wujud persaingan antara perkhidmatan cuci kereta berkonsepkan 'snow wash' dan 'car detailing'.
Katanya, konsep cucian 'snow wash' menawarkan khidmat cucian pada harga yang berpatutan.
“Bagi saya, kedua-duanya sama sahaja iaitu untuk bersihkan kereta, tetapi rasanya konsep cucian 'snow wash' yang lebih dicari-cari orang ramai.
"Tetapi ada juga yang ke pusat 'car detailing' bagi mencuci kereta. Apa pun, terpulanglah asalkan kereta bersih, selesa dan selamat untuk digunakan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!