Kenapa elak balik kampung akhirnya terjawab video raya KPKT
SHAH ALAM - Alasan pemuda perantau yang sering mengelak balik ke kampung demi menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarganya akhirnya terjawab dalam video raya terbaru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun ini.
Video yang bertajuk Korban Kasih itu turut menampilkan pelakon, Ellie Suryati sebagai watak Cik Embun dan Razman Mahayuddin yang memegang watak utama iaitu, Adha.
Adha merupakan seorang pemuda yang tinggal di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur bersama dua rakannya.
Drama berdurasi selama 8.35 minit itu turut menyingkap kerjaya Adha sebagai petugas bomba yang sentiasa berkhidmat sepanjang masa demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini.
Selain itu komitmen kerjaya, kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam sebuah nahas kebakaran juga antara faktor yang mendorong Adha untuk terus bekerja sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan keluarga lain menghadapi nasib sama yang dilalui olehnya.
Menerusi video yang menyentuh erti pengorbanan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut membuat penampilan bagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat yang beragama Islam.
"Semoga Aidiladha kali ini disambut dengan penuh semangat penghayatan, pengorbanan dan menjadikan ukhuwah dalam kalangan rakyat Malaysia Madani lebih utuh.
"Tingkatkan akhlak yang mulia, perkukuhkan ukhuwah sesama sendiri," katanya dalam video tersebut yang disiarkan di semua platform media digital rasmi KPKT pada Ahad.
KPTK turut mengetengahkan beberapa inisiatif perkhidmatan di bawah kementerian berkenaan seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan MyKiosk dalam video tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!