Suspek tikam ibu guna gunting hingga mati direman tujuh hari
BALIK PULAU - Suspek yang menikam ibunya menggunakan gunting sehingga mati di sebuah pangsapuri di Relau direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, polis akan menjalankan soal siasat terhadap suspek untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.
"Reman tujuh hari bermula hari ini.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Pada petang Sabtu, seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini.
Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.
Polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan.
Polis kemudiannya berjaya menahan suspek berusia 40 tahun di lokasi kejadian.
Suspek pernah mengugut untuk membunuh kesemua ahli keluarganya ketika mereka tinggal di Batu Maung.
Kes disiasat mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!