700 meriahkan Arafah #QuranHour di Masjid As Siddiqin
KOTA BHARU - Kira-kira 700 penduduk sekitar memeriahkan program Arafah #QuranHour anjuran Persatuan Rumah Ngaji Kelantan di Masjid As Siddiqin Mukim Panchor, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.
Pengarah Program, Surena Mohd Noor berkata, sambutan bertemakan ‘Reset Takwa’ itu mengangkat dua surah utama iaitu al-Jumu’ah dan al-Hajj sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah, Makkah.
"Reset takwa ini amat bertetapan dengan apa yang disampaikan oleh khatib semasa khutbah Jumaat supaya sifat mukmin sejati sentiasa dihayati sepanjang masa.
"Pada masa sama, kita mahu mengembalikan semangat ketaqwaan kepada ALLAH ke atas alumni dan bakal haji sempena hari Arafah," katanya.
Menurut beliau, Persatuan Rumah Ngaji berharap angin perubahan yang disuntik ini mampu memberikan nafas baharu kepada institusi keluarga, organisasi, masyarakat serta negara menerusi peningkatan taqwa.
Ujarnya, sebagai manusia taqwa kepada ALLAH perlu dipertingkatkan dalam usaha mengukuhkan lagi keimanan sekali gus menjadi mukim sejati.
"Dalam ibadah haji kalau kita faham salah satu tuntutan adalah mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, seperti sedia maklum surah al-Jumu’ah mengajak umat Islam supaya ‘reset’ semula diri setiap hari Jumaat.
"Begitu juga dengan surah al-Hajj, kandungan dalam surah berkenaan banyak menjelas dan mengajak semua manusia untuk bertakwa kepada-Nya,” ujarnya.
Sementara itu, peserta, Nik Nur Adlini Muhammed Azhar, 16, mengakui teruja dapat mengikuti program berkenaan.
Katanya, ia meninggalkan kesan yang mendalam terutama dalam usaha meningkatkan ketaqwaan kepada Maha Esa.
"Ilmu yang dikongsikan ini amat bermanfaat dalam membantu memperbaiki amalam sebagai mukmin sejati.
"Ini merupakan kali kedua saya menyertai program Arafah #QuranHour anjuran Persatuan Rumah Ngaji," katanya.
Bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sering, Muhammad Ikram Muhammad Yunus, 9, berkata, dia amat menyukai program-program ilmu seperti ini.
"Banyak perkara-perkara baharu berkait agama yang dipelajari sepanjang mengikuti program ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!