KDN utama selesai permohonan kewarganegaraan anak tidak sah taraf, anak angkat
NIBONG TEBAL - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan untuk menyelesaikan kes permohonan kewarganegaraan melibatkan kategori anak tidak sah taraf dan anak angkat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan permohonan dua kategori tersebut adalah paling tinggi setakat ini dan diikuti dengan kategori anak yang lahir di luar negara daripada ibu warganegara tetapi bapanya bukan warganegara.
"Apabila saya melihat data permohonan, didapati anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan adalah tinggi. Jadi, saya fikir anak-anak ini tidak boleh dilupakan atas kesalahan ibu bapa.
"Jadi, kita proses segera, kerana itu kita letakkan tahun lepas petunjuk prestasi utama (KPI) (selesai) 14,000 kes dan kita capai tepat pada Disember 2023. Sekarang angka itu sudah mencecah lebih 15,000.
"Sasaran tahun lepas sudah dicapai, paling tidak kita kekalkan momentum sama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini hari ini.
Saifuddin Nasution juga memaklumkan permohonan kewarganegaraan di bawah kategori naturalisasi dan warganegara tempatan yang berkahwin dengan warga asing adalah sangat sedikit.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan yang dihadapi penduduk di Sungai Bakap khususnya masyarakat kaum India sekiranya calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr. Joohari Ariffin dipilih sebagai wakil rakyat pada 6 Julai nanti.
Sementara itu, mengenai siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, beliau mengesahkan polis telah terima aduan mengenai kebocoran dokumen dan siasatan polis masih berjalan.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyekat platform Telegram susulan kebocoran laporan siasatan kes tersebut, beliau menyerahkan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjawabnya.
Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!