Hasrat 'Uncle Umar' ingin bertemu Desmond akhirnya tercapai

Umar menunjukkan kad ucapan yang diterima daripada kanak-kanak yang diselamatkan selepas beberapa bulan insiden tersebut.
Umar menunjukkan kad ucapan yang diterima daripada kanak-kanak yang diselamatkan selepas beberapa bulan insiden tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 19 tahun berlalu, ‘Uncle Umar’ dan Desmond Kwek Bo Yang dapat berhubung kembali, bagi menyambung semula tali persahabatan antara mereka yang terputus buat suatu ketika.

Ia hubungan penuh emosi dan tidak dapat dilupakan bagi mereka berdua, kerana Umar Kamarudin, 67, pesara polis yang pernah menyelamatkan Desmond daripada lemas kira-kira 19 tahun lepas itu, kini berpeluang untuk bersembang dan bertanyakan khabar ‘kanak-kanak’ berkenaan.

Hasrat Umar untuk berhubung dengan Desmond tercapai sejurus selepas laporan berita Bernama mengenai hasrat beliau itu menjadi tular semalam.

Bercakap kepada Bernama, Desmond yang kini berusia 26 tahun dan menetap di Tokyo, Jepun, tidak pernah membayangkan selepas hampir dua dekad, dia akhirnya dapat berhubung semula dengan Umar, yang dipanggilnya ‘Uncle Umar’.

Dia mengakui pada mulanya agak terkejut apabila menerima beberapa panggilan telefon daripada kenalan memaklumkan laporan berita (Bernama) berhubung dirinya.

"Saya sedang membuat kerja saya apabila dapat panggilan telefon... daripada beberapa orang... bertanya apa yang terjadi apabila nama saya masuk dalam berita, mereka malah berkongsi pautan Facebook Bernama mengenai berita itu. Mulanya saya sangka ia scam, tapi apabila saya terus baca berita itu, baru saya sedar ia bukan penipuan,” katanya.

Teruja dengan berita itu, dia terus menghubungi ibunya dan berusaha untuk mendapatkan nama sesiapa sahaja yang boleh dihubungi, agar dapat berhubung kembali dengan ‘Uncle Umar’.

"Ada seorang pengguna menulis: ‘itu bapa saya (Umar)... kemudiannya kami berhubung menerusi Facebook dan terus kami saling bertukar nombor telefon,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Desmond berkata, tidak lama selepas itu, dia dapat menghubungi Umar melalui WhatsApp dan membuat panggilan telefon dengan lelaki yang pernah menyelamatkannya daripada lemas di kolam renang KL Plaza Suites, yang kini dikenali sebagai Fahrenheit Suites, pada 8 Mei 2005.

Berkongsi detik mengharukan itu, Desmond berkata, dia sangat teruja dapat bercakap dengan Umar, dan kedua-duanya juga berhasrat untuk bertemu apabila dia berpeluang kembali ke Malaysia nanti.

"Saya baru balik dari Malaysia Mac lepas... Saya akan balik ke Malaysia mungkin tahun depan... Bila saya telefon uncle (Umar), dia kata apabila saya di Malaysia nanti - kita boleh lepak di kedai mamak,” kata Desmond yang kini bekerja sebagai gaffer di Tokyo.

Desmond merupakan anak sulung daripada tiga beradik berasal dari Kuala Lumpur, dan minat yang mendalam dalam bahasa Jepun telah membawanya berpindah ke Negara Matahari Terbit itu untuk melanjutkan pelajaran dalam Kursus Penerbitan Filem dan Drama (Diploma) di Kolej Seni Penyiaran di Osaka pada 2022.

Mengimbas kembali insiden hampir lemas pada 2005, Desmond berkata ia berlaku selepas dia terjatuh ke dalam kolam.

"Saya tidak berapa ingat sangat, yang saya ingat saya bermain dekat kolam... ibu bapa saya sudah pun hendak pergi ketika itu dan beritahu saya mereka hendak ke kolam berhampiran, untuk mandikan adik saya.

"Saya tidak tahu berenang pada masa itu. Selepas jatuh ke dalam kolam, saya fikir saya cukup tinggi untuk melompat dan terapung, tetapi gagal. Selepas itu saya tidak sedarkan diri dan tidak ingat apa-apa,” katanya.

Selepas insiden itu Desmond berkata, dia hanya dapat menghantar kad ucapan terima kasih dan hadiah sebagai tanda penghargaan kepada Umar.

Bagaimanapun ketika di berumur 14, katanya dia cuba menghubungi Umar, tapi tidak berjaya kerana semua maklumat mengenai anggota polis itu hilang selepas telefon bimbit ibunya rosak.

"Semasa di sekolah menengah, saya juga sering bertanya kepada ibu mengenai ‘uncle’ yang selamatkan nyawa saya.. kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana telefon ibu rosak, kami memang tahu uncle bekerja di Ibu pejabat polis Bukit Aman.

Sementara itu turut berkongsi kegembiraan, Umar meluahkan rasa syukur dan gembira apabila saat yang ditunggu-tunggunya menjadi kenyataan selepas dia dapat bercakap dan mendengar suara anak muda itu.

Umar berkata, dia amat terharu kerana Desmond juga tidak pernah melupakan dirinya dan mereka berdua menggunakan kesempatan untuk bertanya khabar dan perkembangan diri masing-masing

"Saya berasa sangat seronok bila dapat menelefonnya. Saya bangga dia masih mengingati saya dan seperti saya, dia juga berusaha untuk mencari dan berhubung dengan saya.

"Dia hantar pesanan dan telefon saya.... Masa berbual gaya percakapannya memang dia teruja sangat dapat berhubung dengan saya kembali. Seronok dengar dia berjaya dalam bidang pengajiannya dan sudah bekerja di Jepun sana,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!