600 anggota polis siap siaga sepanjang PRK Sungai Bakap

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui media pada Majlis Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini pada Ahad. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui media pada Majlis Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap di sini pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berlangsung.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jaminan keselamatan tahap tertinggi menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan pesta demokrasi yang akan berlangsung bermula 22 Jun ini sehingga 6 Julai dapat berjalan dengan lancar.

Menurutnya, beliau telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dan pasukannya mengenai aspek keselamatan yang merangkumi tiga fasa dari sekarang hingga hari pengundian.

"Fasa pertama melibat persiapan dari segi logistik dan kekuatan tenaga kerja yang diperlukan seterusnya pengumpulan maklumat dari segi pergerakkan calon.

"Jadi dengan kekuatan seramai 600 pegawai dan anggota dianggap munasabah buat masa ini dan pada masa sama kita juga akan menasihati semua pihak terlibat supaya mematuhi undang undang keselamatan dalam negara kita supaya perjalanan semasa kempen itu tidak berlaku perkara-perkara yang dianggap mencetuskan ketidak tenteraman awam," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Ahad.

Terdahulu, beliau menghadiri program Menteri Dalam Negeri bersama masyarakat India di Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pengundi Sungai Bakap tidak perlu bimbang dan takut untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi.

Beliau berkata, dengan jaminan keselamatan membolehkan pengundi keluar beramai ramai menunaikan tanggungjawab mereka disemua pusat pengundian yg telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!