[VIDEO] Peniaga warga asing 'lesap' ketika pemeriksaan KPDN

A
A
A

JOHOR BAHRU - Beberapa peniaga warga asing di sebuah pasar basah di Tampoi dekat sini, lesap sewaktu pemeriksaan mengejut anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada Ahad.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, rata-rata warga asing menganggap anggota KPDN merupakan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana berpakaian seragam.

Menurut beliau, operasi berkenaan diadakan bertujuan memeriksa harga barangan selain memberi advokasi supaya peniaga meletakkan tanda harga menerusi Op Kesan 2.0.

"Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan mendapati masih ramai lagi peniaga yang gagal letakkan tanda harga dengan pelbagai alasan diberikan.

Lilis Saslinda (dua dari kiri) bertanya kepada peniaga kerana tidak meletakkan harga ketika pemeriksaan di sebuah pasar basah di Tampoi, pada Ahad.
Lilis Saslinda (dua dari kiri) bertanya kepada peniaga kerana tidak meletakkan harga ketika pemeriksaan di sebuah pasar basah di Tampoi, pada Ahad.

"Malah ada peniaga, sewaktu pemeriksaan dilakukan, terhegeh-hegeh menulis harga tempe atas kertas. Sudahlah perkataan tempe itu ditulis 'temey' terpaksa anggota KPDN betulkan," katanya pada sidang akhbar.

Artikel Berkaitan:

Lilis Saslinda memberitahu pemeriksaan Op Kesan 2.0 seterusnya akan dibuat bersama agensi lain termasuk JIM bagi memantau isu pekerja asing manakala KPDN hanya membabitkan pemeriksaan harga selain pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Diakui pemilik premis sepatutnya adalah warga tempatan, mungkin warga asing di beberapa premis sayuran itu digajikan pemilik bagi menjaga kedai.

"Bagaimanapun, pemilik seharusnya memaklumkan pekerja asing berkenaan supaya meletakkan tanda harga kerana ada beberapa barangan dijual langsung tiada tanda harga, dan ia kesalahan besar sebenarnya.

"Hari ini, KPDN beri advokasi dan nasihat dahulu, namun mulai lusa kita akan terus bertindak tegas dan keluarkan kompaun jika masih tiada tanda harga diletakkan pada barangan dijual," katanya.

Sebelum itu, pelbagai premis membabitkan gerai sayur, ikan dan daging diperiksa anggota KPDN diketuai Lilis Saslinda.

Lilis Saslinda berkata, Op Kesan 2.0 akan terus dipertingkatkan di pelbagai lokasi bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

"Kita akan memastikan tiada mana-mana syarikat sama ada tersenarai dalam Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) atau pun tidak layak menerima subsidi diesel, tidak menggunakan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan kerajaan sebagai alasan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!