[VIDEO] Isu air di Sabah: KPT tolak tindakan mahasiswa libatkan bukan warganegara

A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menolak tindakan mahasiswa menggunakan golongan bukan warganegara dalam perjuangan menuntut hak mereka berhubung isu air di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau terkejut dengan tindakan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membawa golongan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dalam perhimpunan menghantar memorandum tuntutan isu air di hadapan Menara Kinabalu Jumaat lalu.

"Saya amat terkejut bila membaca akhbar dan ini juga diakui oleh ketua pelajar Suara Mahasiswa sendiri bahawa mereka membawa yang dia katakan sebagai 'stateless' (individu tanpa kewarganegaraan).

"Bagi saya sepatutnya perkara ini tidak berlaku dengan membawa bukan warganegara dalam isu-isu perjuangan rakyat Sabah.

Mustapha ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2024 di Kota Kinabalu.
Mustapha ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2024 di Kota Kinabalu.

"Saya tidak jangka perkara ini berlaku dan ini melibatkan mahasiswa kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2024 di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya tidak menghalang mahasiswa itu mengadakan perhimpunan tetapi harus mengikut saluran yang betul.

"Itu yang saya terangkan lebih awal, kena rasional dalam isu-isu perjuangan rakyat dan bukan kita menghalang mereka berdemonstrasi.

"Dari awal saya katakan dapatkan permit buatlah demonstrasi secara aman dengan penuh rasional, tapi apa dibuat mereka, boleh pula membawa bukan warganegara untuk bersama-sama meramaikan kuantiti dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Mustapha sekali lagi menyatakan kekesalan beliau apabila tuntutan hak rakyat Sabah dilibatkan dengan golongan bukan warganegara.

"Saya agak kesal perkara ini dilakukan dan saya minta jangan sama sekali bawa yang bukan warganegara ini dalam isu-isu yang melibatkan hak dan tanggungjawab kita sebagai warganegara di Sabah.

"Saya jelas menolak mana-mana cubaan oleh kumpulan, mahupun badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana parti yang menggunakan bukan warganegara dalam perjuangan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan sembilan individu tidak mempunyai dokumen ditahan polis ketika menyertai perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa dari UMS.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!