Tafakur Alam: Refleksi iman di Laman Kak Engku Cameron Highlands
SHAH ALAM - Pada penciptaan langit dan bumi, perubahan siang dan malam antara petanda kebesaran ALLAH SWT. Ini memberi makna yang mendalam bagi orang yang berakal atau disebut ulul albab. Namun apakah signifikan kaitan alam dan ulul albab?
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan juga pentadabbur 'Tafakur Alam: Refleksi Alam, Refleksi Iman', Fazrul Ismail, berkongsi pengisian rohani berpandukan Surah Ali Imran ayat 190 hingga 200 mengenai ciri-ciri ulul albab.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dianjurkan bersama WUIF dan Laman Kak Engku @ Royal Berry Strawberry Farm, Cafe & Restaurant di Kea Farm, Brinchang pada pukul 7 pagi, 30 Mei 2024.
Beliau berkata, ulul albab ialah orang yang ada lubb atau hati nurani yang bukan sekadar melihat suatu secara luaran, tetapi mampu menembusi ruang dan masa sehingga ia mengingatkan kepada Tuhan Maha Pencipta.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat ALLAH sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka” (Surah Ali Imran: 190 -191)
Tambah Fazrul, apabila kita berfikir dan mengkaji, terdapat tiga sumber iaitu sumber atas (wahyu/al-Quran), sumber belakang (sejarah) dan sumber depan (ilmu sains dan semasa) untuk kita mengingati ALLAH SWT.
“Mulakan ingati ALLAH SW, diikuti dengan berfikir secara berstruktur dan mendalam.
Ia bukan cara berfikir biasa-biasa. Ketika melihat alam dan kejadian ALLAH, kita berdoa, “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka” (Surah Ali ‘Imran ayat 191).
Surah Ali ‘Imran menjadi panduan untuk berpegang kepada prinsip atau alhaq (kebenaran). Di penghujung surah tersebut, ayat 200 menjadi penguat semangat untuk kita bersabar, teguh dengan kehidupan dan bertakwa kepada ALLAH SWT.
Antara kaedahnya, kita melihat penciptaan langit dan bumi yang bukan sia-sia boleh menyebabkan kita sentiasa memuji ALLAH SWT.
“Subhanallah bermaksud Maha Suci dan Sempurna adalah ALLAH, saya tidak sempurna. Saya ada ada banyak masalah. Untuk mendapatkan ubat hati dan terapi, banyakkanlah memuji ALLAH SWT. Jika terlampau sedih sehingga hilang arah, maka bersujudlah dan bertasbihlah dengan syarat kita memohon kepada ALLAH dijauhi daripada azab api neraka. Neraka merupakan masalah paling besar di akhirat.
Dalam memuji ALLAH SWT, kita mensyukuri segala nikmat yang diterima sebelum ini dengan menyebut alhamdulillah. Semoga kita dimasukkan dalam golongan yang diberi nikmat dan bukan orang yang dimurkai dan sesat, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Fatihah ayat 6 dan 7.
Rasulullah SAW mendidik kita mengenai cara mengurus masalah dengan mendekati diri kepada ALLAH SWT. Contohnya, Baginda SAW berpuasa apabila tiada makanan di rumah.
ALLAH SWT selalu ingat kepada makhluk-Nya dengan memberi nikmat-Nya. Oleh itu kita perlu selalu mengingati ALLAH kerana segala sesuatu berlaku tiada yang sia-sia.
Orang yang dapat melihat semua perkara adalah sesuatu kebenaran milik ALLAH SWT, maka dijauhkan daripada azab neraka.
Peserta terdiri daripada pihak Rumah Ngaji Pahang, Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Rumah Ngaji Perak, WUIF dan staf Laman Kak Engku berpeluang untuk menghayati ayat-ayat al-Quran, khususnya Surah Ali Imran yang menekankan sifat ulul albab di dalam suasana kebun strawberi.
Program Tafakur Alam di Laman Kak Engku bukan sahaja memberi peluang untuk berehat dan menikmati keindahan alam, tetapi juga menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan rohani dengan ALLAH.
Dengan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran dan merenungi kebesaran ciptaan-Nya, peserta pulang dengan hati yang lebih tenang dan penuh rasa syukur.
Sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Ustaz Safri Muhammad Zein.
Pada penghujung program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff menyampaikan set Al-Quran untuk Ummah kepada Pengarah Urusan Laman Kak Engku, Tengku Faridah Tengku Hussin, 41 dan suaminya, Kamarul Azli Ahmad, 48.
Sementara itu Tengku Faridah atau lebih dikenali Kak Engku berkata, beliau yang mencintai al-Quran berasa teruja untuk bersama WUIF dalam menjayakan Tafakur Alam di Laman Kak Engku.
Kebiasaannya, beliau menjadikan lokasi tersebut untuk menyantuni anak yatim dan pelajar tahfiz dari Perak dan Johor melalui aktiviti membaca al-Quran, melawat kebun strawberi dan menjamu juadah di kafe tersebut.
“Kami menyambut baik kerjasama dengan WUIF untuk menganjurkan Tafakur Alam. Ia merupakan hadiah daripada ALLAH SWT selepas melalui ujian besar. Saya dan suami diuji apabila kafe kami hendak dirobohkan sehari sebelum hari raya tahun ini untuk memberi laluan projek pembesaran jalan.
“Kami sebagai pemegang amanah di tempat ini, berjihad kerana ALLAH SWT. Saya banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT semoga mempertahankan tanah ini untuk syiar agama. Tiada sesiapa pun boleh tolong melainkan ALLAH SWT. Projek tersebut sekarang masih membisu tanpa kata,” ujarnya dengan harapan Laman Kak Engku dapat dijadikan platform untuk mengimarahkan al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!