'Tindakan punitif bendung rasuah' - MCW

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera melaksanakan tindakan punitif dan reformasi integriti bagi membendung kes rasuah dalam kalangan penguat kuasa di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan seperti pemecatan, penurunan pangkat atau penahanan kenaikan gaji adalah langkah efektif untuk menghentikan isu integriti.

Menurutnya, kes rasuah yang melibatkan badan penguat kuasa berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan tempoh bertugas dalam jawatan kritikal yang terlalu lama menyebabkan kesalahan berkaitan integriti sukar ditangani.

“Cadangan MCW termasuklah memperketat prosedur pengawasan dan audit dalaman, meningkatkan penggunaan teknologi bagi memantau aktiviti harian, menyediakan latihan berterusan mengenai etika dan integriti serta mengenakan hukuman tegas terhadap mereka yang didapati bersalah.

“Selain itu, dengan memendekkan tempoh bertugas untuk jawatan dan lokasi tertentu membantu mengurangkan ruang serta peluang salah laku.

“Tindakan ini dapat memberi mesej yang tegas bahawa tidak ada sebarang toleransi terhadap kesalahan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pada 7 Jun lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil langkah proaktif dalam mengekang sebarang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu-pintu keluar serta masuk negara.

JKDM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung penangkapan tiga pegawainya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi operasi khas dijalankan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Jais, tindakan tegas yang konsisten dapat menegakkan integriti sekali gus memulihkan kepercayaan awam terhadap badan penguat kuasa atau agensi.

Tambah beliau, tindakan dalaman seperti pemecatan dan juga pendakwaan di mahkamah, kedua-duanya adalah langkah terbaik bagi menangani jenayah rasuah.

“Kerajaan perlu lakukan tindakan tegas yang konsisten dan adil bagi menegakkan integriti dan memulihkan kepercayaan awam.

“Tindakan dalaman seperti pemecatan atau penurunan pangkat memberikan kesan segera manakala pendakwaan di mahkamah mempunyai kesan jangka panjang selain memastikan pelaku mendapat hukuman setimpal dengan kesalahan mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!