Paras air empangan di Selangor boleh bertahan 3 hingga 4 bulan
HULU LANGAT - Paras air kolam takungan dan empangan di Selangor mencukupi dan mampu bertahan tiga hingga empat bulan sekiranya mengalami musim kemarau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa pelan dan perancangan dilakukan dalam memastikan bekalan air di Selangor mencukupi bagi mengelakkan catuan air.
"Kadar hujan diterima satu bulan kebelakangan ini agak signifikan dan membantu meningkatkan kapasiti air di empangan dan kolam takungan di Selangor.
"Dalam masa sama kita ada projek kolam takungan hiliran (ORS) Kampung Hang Tuah dan HORAS yang membantu menyimpan air takungan yang mencukupi untuk hadapi sebarang kemungkinan musim panas, La Nina atau kemarau berpanjangan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmi Diron dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Abdul Hadi Ali.
Pada sesi lawatan itu, Amirudin berkata, Stream B Langat 2 mula mengagihkan air terawat sebanyak 325 juta liter air sehari (mld) bagi kegunaan penduduk di kawasan Hulu Langat dan Kuala Lumpur.
"Projek ini kini telah dibangunkan sebanyak 80 peratus dan dijangka kapasiti pengeluarannya mampu ditingkatkan sehingga 565mld selepas projek ini siap sepenuhnya.
"Pengoperasian Stream B Langat 2 ini dapat mengurangkan had penggunaan air di beberapa loji seperti LRA Semenyih dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang sebelum ini beroperasi di tahap maksimum," katanya.
Katanya lagi, Stream B Langat 2 juga membantu Selangor berada dalam keadaan selesa selepas margin simpanan air mampu ditingkatkan dari tiga peratus kepada 10 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!