Warga emas hilang kembali ke pangkuan keluarga
BAGAN DATUK - Selepas hilang hampir 24 jam, warga emas kembali ke pangkuan keluarganya di Kampung Parit Haji Tahir di sini pada Ahad.
Anaknya, Muhammad Fitri Abdullah, 39, memaklumkan bapanya, Abdullah Ismail, 75, selamat pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang tadi.
Ketika ditanya, bapanya memberikan alasan motosikal dinaiki mengalami kerosakan di Sungai Tiang Baroh kira-kira 8 kilometer dari rumahnya.
"Ayah pulang dalam keadaan basah mungkin sebab hujan. Dia maklumkan pada kami motosikal rosak dan terpaksa bermalam di dalam sebuah kereta di Sungai Tiang Baroh. Dia nak telefon tapi tiada nombor untuk dihubungi kerana nombor baru ditukar.
"Alhamdulillah, kami bersyukur ayah sudah selamat pulang. Terima kasih saya ucapkan pada semua yang membantu mencari dan mendoakan keselamatan ayah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan warga emas tersebut keluar rumah sejak petang semalam dipercayai pergi memancing namun tidak pulang.
Situasi itu menyebabkan anaknya bimbang kerana tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.
Bagaimanapun beberapa individu ada terlihat lelaki tersebut bersama joran pancing di dua lokasi berbeza iaitu di kawasan Sungai Dulang dan Bagan Pasir.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!