Rumah pusaka jadi tempat proses ketum diserbu
KOTA TINGGI - Polis menyerbu sebuah rumah pusaka yang menjadi tempat memproses air ketum dan berjaya menahan dua lelaki, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, dalam serbuan jam 9.30 malam itu, dua laras senapang angin dan 62 peluru penabur dirampas.
"Sebanyak 133 plastik lut sinar mengandungi air ketum dan 225 plastik lut sinar mengandungi daun ketum turut dirampas, selain peralatan untuk memproses daun berkenaan.
"Berdasarkan siasatan awal, rumah pusaka itu dijadikan tempat memasak air ketum. Bagaimanapun, motif kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an memiliki senapang angin itu masih disiasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Hussin, nilai keseluruhan rampasan air dan daun ketum serta peralatan dianggarkan kira-kira RM6,630
"Mahkamah Majistret Kota Tinggi telah membenarkan seorang suspek direman 14 hari, seorang lagi diberi jaminan polis selepas rakaman percakapan dibuat bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!