Aidiladha bukan sekadar perayaan - Ahmad Zahid

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Aidiladha bukan sekadar perayaan tetapi hari untuk menghayati nilai-nilai pengorbanan, ketaatan, kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, umat Islam diingatkan mengenai pengorbanan yang perlu dilakukan demi memenuhi perintah ALLAH SWT menerusi kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

"Kisah ini menjadi satu manifestasi ketaqwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah, kepatuhan seorang anak dan redhanya seorang isteri dan ibu dalam mentaati perintah ALLAH SWT.

"Pada hari yang mulia ini, marilah kita berazam untuk memperkuat hubungan silaturrahim dengan keluarga, sahabat dan masyarakat setempat.

"Melalui ibadah korban, kita bukan sahaja menjalankan perintah agama tetapi membantu mereka yang memerlukan dan menunjukkan keprihatinan serta kasih sayang terhadap sesama insan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu beliau turut menitip doa kepada mereka yang sedang menunaikan ibadah haji agar amalan diterima ALLAH serta selamat tiba ke tanah air dengan membawa haji mabrur.

Bagi yang belum berkesempatan, beliau mendoakan semoga ALLAH mempermudahkan jalan untuk menunaikan rukun Islam kelima ini pada masa akan datang.

"Jadikan Aidiladha yang dirai sebagai masa untuk kita memperbaharui niat dan keikhlasan dalam setiap amalan.

Artikel Berkaitan:

"Besar pengharapan agar segala pengorbanan dan usaha kita mendapat rahmat dan keredhaan ALLAH serta memperkuat iman dan takwa kita kepadaNya," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!