Menteri Kabinet ucap selamat menyambut Aidiladha
KUALA LUMPUR - Beberapa menteri Kabinet hari ini merakamkan ucapan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, semoga Aidiladha kali ini membawa pemahaman dan penghayatan akan erti pengorbanan sebenar yang dilakukan Nabi Ibrahim a.s dalam membuktikan ketakwaan kepada Allah SWT.
"Pada masa sama, marilah kita doakan agar saudara kita yang sedang menunaikan ibadah Haji memperoleh haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air nanti. Salam Aidiladha kepada seluruh umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya malam ini.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berharap agar Aidiladha kali ini membawa keberkatan, kegembiraan dan kedamaian kepada semua serta menghayati nilai-nilai pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang yang diajarkan kepada kita melalui ibadah korban.
"Marilah kita meneladani ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s dalam mematuhi perintah Allah SWT. Ibadah korban yang kita lakukan adalah sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.
"Semoga daging korban yang kita korbankan dapat memberi manfaat kepada fakir miskin dan yang memerlukan serta mempererat lagi tali silaturahim antara keluarga, sahabat dan tetangga. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam,” katanya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengucapkan selamat menyambut Aidiladha buat seluruh muslimin dan muslimat.
"Aidilfitri dirayakan dengan kemenangan, Aidiladha pula pelengkap pengorbanan. Semoga segala ibadah yang dijalankan tahun ini diterima dan diberkati Allah SWT. Yang dalam perjalanan pulang ke kampung, saya doakan perjalanan selamat pergi dan kembali,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengajak seluruh umat Islam merenung erti sebenar pengorbanan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.
"Semoga semangat itu menguatkan tekad kita untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Aidiladha juga waktu untuk kita berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai. Saya berharap agar setiap daripada kita dapat menikmati keriangan dan keberkatan dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang dan keharmonian.
"Dalam kita menyambut hari raya ini, janganlah kita lupa akan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan. Marilah kita bersama-sama menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka agar kebahagiaan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
Beliau berkata bagi mereka yang berpeluang menunaikan ibadah korban, semoga amal ibadah mereka diterima Allah SWT dan membawa keberkatan kepada seluruh umat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, dalam semangat Aidiladha ini, beliau mengajak semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan budaya untuk merenung nilai-nilai yang dibawa dalam perayaan ini.
"Pengorbanan untuk kebaikan bersama, keikhlasan dalam hubungan sesama manusia dan kesanggupan untuk mengutamakan kepentingan masyarakat di atas kepentingan peribadi ialah prinsip yang boleh kita semua pelajari dan amalkan,” kata beliau.
Ramanan berkata, kita kini berada dalam masa yang penuh cabaran namun dengan semangat perpaduan dan saling menghormati, kita mampu mengharungi segala dugaan.
"Marilah kita mengukuhkan ikatan persaudaraan, memupuk rasa hormat antara satu sama lain dan bersama-sama membina masa depan yang sejahtera selaras dengan visi Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha esok. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!