PM tunai solat sunat Aidiladha di Masjid Putra
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra pada Isnin.
Beliau yang lengkap berbaju Melayu warna hijau itu hadir bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada jam 7.51 pagi.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum memasuki dewan utama masjid bagi menunaikan solat Aidiladha.
Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar kemudian bertakbir raya bersama kira-kira 20,000 jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali.
Perdana Menteri turut mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk 'Aidiladha dan Kepedulian Sosial Kita' yang disampaikan Salahuddin.
Khutbah tersebut menekankan kepentingan ibadah korban dalam mengajar sikap cakna, kepedulian terhadap orang sekeliling dan melatih amalan bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Selepas selesai khutbah Aidiladha, Anwar juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah lain di Masjid Putra.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!