Jemaah kelapan Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci
MAKKAH - Tabung Haji (TH) melaporkan tiga kematian baharu termasuk seorang meninggal dunia pada Ahad melibatkan jemaah Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini seramai lapan orang.
Allahyarham Sakinah Jalil, 66, meninggal dunia di pekarangan sebuah pasar raya di Syisyah akibat serangan jantung jam 4.30 petang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, jemaah berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu hadir menunaikan haji bersama rakannya.
“Kita sama-sama doakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan kita sama-sama doakan agar ibadah beliau diterima dan dihimpunkan bersama golongan yang dirahmati dan diberkati,” katanya dalam satu sidang media pada Ahad.
Dua lagi kematian iaitu jemaah dari Jengka, Pahang, Allahyarham Baharuddin Mohd Shood berusia 75 tahun dan Allahyarham Abd Manaf Hanafiah, 65, dari Alor Star, Kedah.
Allahyarham Baharuddin meninggal dunia pada 11 Jun 2024 jam 5.10 petang akibat kanser usus yang didapati sudah merebak ke sistem hempedu.
Manakala Allahyarham Abd Manaf meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Makkah Medical Centre, pada 13 Jun 2024 jam 5.30 petang.
Sementara itu dalam sidang media yang sama, Mohd Naim memberitahu, kebakaran dapur di salah sebuah khemah milik syarikat PJH kelmarin dalam keadaan terkawal dan tidak mengganggu gugat operasi haji.
Menurutnya, jemaah haji yang berada berhampiran kawasan tersebut ketika kejadian juga berada dalam keadaan selamat.
“Punca kejadian kebakaran masih disiasat oleh pihak berkuasa. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang mengambil tindakan pantas dan dapat mengawal situasi dalam jangka masa pendek," jelasnya.
Sebelum itu, Mohd Naim berkesempatan melawat Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah bagi menyantuni sebahagian 71 pesakit yang menyertai Safari Wukuf pada Sabtu lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!