Jaringan Weghorst bantu Belanda atasi Poland
JUARA edisi 1988, Belanda memulakan pemburuan kejuaraan berprestij bola sepak Eropah dengan langkah menyakinkan apabila bangkit mengatasi Poland, 2-1 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Volksparkstadion pada Ahad.
Poland kendalian Michał Probierz yang turun tanpa mesin gol, Robert Lewandowski diletakkan di bangku simpanan terlebih dulu memimpin permainan menerusi sentuhan pemain kelab Liga Super Turkiye, Antalyaspor yang dipinjamkan dari RC Lens, Adam Buksa minit ke-16.
Oranje kendalian Ronald Koeman tersentak dengan jaringan itu mula memberi respon positif memburu jaringan penyamaan apabila mula mengasak benteng Orły yang tampil bersederhana.
Hasilnya, bintang Liverpool, Cody Gakpo meledak gol penyamaan yang menterjemahkan sentuhan Nathan Ake pada minit ke-29 bagi mengikat kedudukan 1-1 separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Belanda yang merupakan pasukan pilihan kumpulan meningkatkan tekanan bagi mengukuhkan langkah awal ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun ketumpulan penyudah selain deretan percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sehinggalah pemain gantian yang beraksi untuk kelab Liga Kejuaraan England, Burnley, Wout Weghorst yang dipinjamkan ke kelab Jerman, TSG 1899 Hoffenheim, menghadirkan gol pada minit ke-83.
Sebagai rekod, Belanda merupakan pasukan kedua meraih kemenangan selepas melepaskan gol aksi pembukaan Euro 2024 selepas perlawanan Itali menentang Albania yang berakhir dengan kemenangan Gil Azzurri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!