Rakyat diingat tidak lupa saudara seagama di negara bergolak - Muhyiddin
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sesekali melupakan saudara seagama di negara bergolak seperti di Palestin yang sedang menjadi sasaran ‘korban’ rejim Zionis.
Muhyiddin berkata, beliau mendoakan semoga ALLAH melindungi dan memberi kejayaan kepada perjuangan mereka.
"Marilah sama-sama kita berdoa untuk mereka.
"Saya juga mendoakan semoga seluruh jemaah Malaysia yang sedang menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci sihat dan dipermudahkan urusan ibadah haji dan memperoleh haji mabrur, insya-ALLAH," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.
Dalam pada itu, beliau dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Ujarnya, hampir kebanyakan surau dan masjid di negara akan melaksanakan ibadah korban selepas selesai solat sunat Aidiladha kerana ia merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.
"Ibadah korban dilaksanakan bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anak kesayangannya Nabi Ismail AS hanya kerana ketaatan, ketakwaan dan kecintaan yang begitu mendalam baginda kepada ALLAH SWT.
"Banyak ibrah atau pengajaran yang boleh kita ambil daripada sirah agung ini untuk dijadikan teladan dalam melayari kehidupan di bumi ini," jelasnya
Tambah Muhyiddin, pengorbanan walaupun bukan sesuatu yang mudah dilakukan atau dizahirkan tetap menjadi satu tuntutan yang perlu dilaksanakan terutama apabila melibatkan nyawa, kehidupan, mempertahankan agama serta kesejahteraan ummah.
"Dalam melakukan pengorbanan perlu ada keberanian, istiqamah dan bersedia dengan apa juga cabaran serta bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
"Kesanggupan berkorban, saling membantu, mengambil berat antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan dan mengikis sikap pentingkan diri sendiri mampu menjadi umat Islam lebih kuat dalam mendepani apa sahaja cabaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!