Dua ekor lembu sesat di lebuh raya
PETALING JAYA - Kehadiran dua ekor lembu di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) di sini menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pengguna lebuh raya tersebut pada Ahad.
Rata-rata pengguna lebuh raya berkenaan terkejut apabila dua ekor lembu berada di laluan itu semasa aliran trafik sedang sibuk.
Beberapa rakaman klip video dan gambar kejadian di lebuh raya berhampiran pusat beli-belah Paradigm Mall itu tular dalam media sosial.
Malah terdapat satu rakaman video tular yang berdurasi 14 saat jelas memaparkan dua ekor lembu itu bergerak di celah-celah kenderaan di lebuh raya itu.
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi turut dipercayai mengalami kerosakan akibat terlanggar seekor lembu berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dalam satu kenyataan ringkas berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memaklumkan dari mana dua ekor lembu tersebut terlepas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!