Negara muflis, kos sara hidup meningkat jika rasuah berterusan
SHAH ALAM - Gejala rasuah akan menyebabkan negara bukan sahaja berdepan dengan risiko muflis malah kos sara hidup meningkat tinggi jika jenayah itu berterusan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, dalam masa sama generasi baharu terpaksa menanggung keperitan ekonomi akibat daripada perlakuan rasuah sebelum ini.
Katanya, isu rasuah masih lagi menunjukkan data yang membimbangkan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjuang untuk membanteras hingga ke akar.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini usaha untuk melawan rasuah bukan dilakukan secara berasingan, namun perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak.
"Selain itu, gaji rendah sebagai penyebab gejala rasuah bukan perkara pokok sebaliknya tiada intergriti dan tidak mengganggap bahawa wang yang diambil adalah haram dan bakal memusnahkan institusi kekeluargaan," ujarnya
Terdahulu, Pemerhati Rasuah Malaysia ( MCW) mengatakan isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih kritikal dan menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pelanggan mereka dan masyarakat negara ini secara amnya.
Contoh terkini adalah sindiket 'kontena terbang' yang menunjukkan bahawa integriti sebahagian penjawat masih dipersoalkan dan terdapat banyak lagi aduan ataunkes yang dalam siasatan.
Menurut Hamdan Daniel, walaupun jumlah denda dan hukuman berat telah pun dilakukan namun pegawai awam masih terlibat dengan rasuah.
"Oleh itu, saya mencadangkan agar hukuman berat haruslah dilakukan sepenuhnya seperti gugurkan kerakyatan agar menjadi pengajaran pada perlaku dan mereka yang terlibat.
"Lagi satu ialah buang deerah supaya menjadi teladan kepada yang lain supaya berfikir panjang dan memikirkan risiko bakal memusnahkan diri serta keluarga
"Selain itu, saya rasa mereka yang terlibat perlu disenaraihitamkan dan segala aset kepunyaan pelaku wajib dibekukan ataupun di sita supaya menjadi pengajaran serta peringatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!