Rumah didiami tujuh sekeluarga terbakar
GEORGE TOWN - Tujuh sekeluarga berhadapan detik cemas apabila kediaman mereka yang terletak berhampiran Taman Desa Penaga, Jelutong di sini terbakar dalam kejadian pada jam 8.55 pagi Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Timbalan Penguasa Bomba I A'azelan Hassan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun dua daripada mereka dilaporkan mengalami tekanan darah tinggi dan cedera ringan.
Menurutnya, mangsa pertama adalah wanita berusia 39 tahun mengalami tekanan darah tinggi manakala abangnya yang berusia 54 tahun cedera di bahagian tangan.
"Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan tidak dirawat di hospital.
"Mereka berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah A'azelan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan satu unit rumah kelas B dengan anggaran keluasan 30 x 20 kaki persegi.
"Anggaran kemusnahan keseluruhan rumah adalah sebanyak 90 peratus," katanya.
Beliau berkata, kebakaran turut melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Axia dan Proton Wira serta sebuah motosikal Yamaha Ego.
"Ketiga-tiga kenderaan itu juga musnah 90 peratus.
"Kerja-kerja pemadaman turut dibantu 19 anggota dari balai bomba berhampiran," katanya.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.12 pagi.
"Kita melakukan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada elemen bahaya yang lain.
"Operasi diserah kepada pihak pasukan penyiasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!