Aidiladha: Perhilitan pantau restoran, premis jual daging binatang liar

Segelintir masyarakat beranggapan bahawa daging hidupan liar seperti rusa, kijang, pelanduk dan landak lebih enak berbanding daging lembu atau kerbau untuk dijadikan hidangan sempena Aidiladha seperti rendang dan sebagainya. - Gambar hiasan 123RF
Segelintir masyarakat beranggapan bahawa daging hidupan liar seperti rusa, kijang, pelanduk dan landak lebih enak berbanding daging lembu atau kerbau untuk dijadikan hidangan sempena Aidiladha seperti rendang dan sebagainya. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memantau restoran dan premis menjual hidangan eksotik secara haram untuk juadah hidangan Hari Raya Aidiladha.

Berdasarkan risikan dan pemantauan mendapati terdapat pemburu haram yang menyasarkan rusa, kijang, pelanduk dan landak bagi mendapatkan dagingnya.

Hasil tangkapan itu kemudian dijual kepada pembeli termasuk dalam kalangan peniaga restoran berdasarkan permintaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, peningkatan permintaan terhadap hidupan liar ini ketika musim perayaan adalah kerana terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa daging hidupan liar ini lebih enak berbanding daging lembu atau kerbau untuk dijadikan hidangan seperti rendang dan sebagainya.

Menurutnya, hidangan ini bagi juadah untuk saudara-mara atau kenalan terdekat.

"Antara hidupan liar yang dicari untuk musim perayaan ini seperti rusa, pelanduk, kijang, landak, ayam hutan, punai tanah, punai daun dan ruak-ruak.

"Pada kebiasaannya, modus operandi untuk aktiviti pemburuan hidupan liar dikesan dijalankan dalam tempoh seminggu hingga sebelum menjelang raya (Aidiladha)

"Daging hidupan liar ini pula akan dijual secara tertutup kepada kenalan terdekat sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan kegiatan jenayah hidupan liar agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Jelasnya, jabatan juga menyeru keprihatinan dan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara ini agar tidak diancam kepupusan.

"Sebarang laporan berkaitan jenayah hidupan liar boleh disalurkan kepada jabatan melalui Talian Hotline Jabatan PERHILITAN di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

INFO GRAFIK

Tindakan Undang-undang

-Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 di bawah Seksyen 60, 61 dan 62

-Hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan penjara tujuh tahun

-Bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Seksyen 68, 69 dan 70 boleh membawa hukuman denda sehingga RM 500,000 dan penjara tidak melebihi tempoh 15 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!