Faisal Halim perlu dapat sokongan psikologi, perubatan untuk pulih - Pakar

Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass berkata, Faisal mempamerkan tanda-tanda trauma yang teruk dan tekanan emosi semasa penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media Khamis lepas, susulan serangan asid awal bulan lepas. Foto Bernama
Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass berkata, Faisal mempamerkan tanda-tanda trauma yang teruk dan tekanan emosi semasa penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media Khamis lepas, susulan serangan asid awal bulan lepas. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim memerlukan masa untuk kembali beraksi dan beliau perlu mendapatkan bantuan psikologi serta perubatan bagi membantu proses pemulihan sepenuhnya.

Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass berkata, Faisal mempamerkan tanda-tanda trauma yang teruk dan tekanan emosi semasa penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media Khamis lepas, susulan serangan asid awal bulan lepas.

Urmilah yang mempunyai 18 tahun pengalaman berkata, Faisal, atau mesra digelar Mickey, menunjukkan gejala kebimbangan dan kemurungan akibat insiden traumatik itu.

"Jelas daripada sidang medianya bahawa keyakinan beliau sangat terjejas.

Faisal bimbang tentang keselamatan dirinya dan keluarga serta merasa putus asa untuk meneruskan kerjaya dalam bola sepak.

Beliau juga menahan kesakitan yang tidak tertanggung berikutan mengalami kecederaan melecur tahap empat.

"Hal ini sudah pasti menyebabkan tekanan akut, ketidakselesaan fikizal dan simptom kemurungan dan kebimbangan.

Beliau boleh mendapatkan bantuan profesional yang semestinya amat memberikan kelegaan buat diri beliau," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Pemain sayap Selangor FC berusia 26 tahun itu mengalami luka melecur tahap empat pada sebahagian anggota badannya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Pada Khamis (13 Jun), Faisal membuat penampilan pertama pada sidang media yang diadakan di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor.

Dua hari kemudian, beliau menonton perlawanan bola sepak yang menyaksikan Red Giants menewaskan Negeri Sembilan 4-0 untuk mara ke suku akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Urmilah berkata, kejadian traumatik itu meninggalkan kesan pada jiwa manusia dan setiap orang memberikan reaksi berbeza, dengan tanda-tanda lazim termasuk kewaspadaan tinggi, imbas kembali, ketakutan terhadap lokasi kejadian, mood yang rendah, mudah marah dan menarik diri daripada bersosial.

"Selepas serangan sedemikian, seseorang mungkin menunjukkan ketakutan mendalam dan keengganan untuk kembali ke lokasi atau sebarang tempat yang mengingatkan mereka tentang serangan itu.

Sekiranya mereka terpaksa kembali ke lokasi, mereka mungkin mengalami ketakutan melampau jika diserang lagi.

"Mereka juga akan bimbang dengan keselamatan insan tersayang yang mungkin menyebabkan mereka kurang keluar ke tempat awam dan lebih berhati-hati dengan persekitaran," katanya dan menambah dengan intervensi yang betul, pemulihan sepenuhnya mungkin boleh berlaku.

Urmilah berkata dalam sebarang situasi traumatik yang menyebabkan kesukaran emosi, sokongan sosial daripada keluarga, rakan dan masyarakat adalah sangat penting. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!