Pembangunan rumah keluarga sasar tampung 60 peratus anggota tentera - Adly

Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Kementerian Pertahanan menyasarkan pembangunan rumah keluarga angkatan tentera dapat menampung hingga 60 peratus daripada keseluruhan lebih 100,000 anggota, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata, kementerian juga berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi melihat beberapa aspek berkaitan perumahan anggota agar dapat memenuhi sasaran berkenaan.

"Hal ini untuk memastikan seramai mungkin daripada sasaran 60 peratus boleh menduduki rumah keluarga itu. Selain itu, anggota juga mempunyai peluang memperoleh rumah mereka sendiri, menjadikan proses pemilikan rumah lebih mudah.

"Kita sudah merancang untuk membangunkan rumah itu dalam tempoh ini. Untuk tahun ini kita jangka perumahan keluarga itu siap menjelang 2029 di samping kita meneruskan pembangunan perumahan keluarga ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Sandakan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan RM400 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih semua rumah keluarga angkatan tentera.

Sementara itu, Adly berkata, projek naik taraf Jeti Operasi Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) di Pangkalan TLDM Sandakan di sini sudah mencapai 39 peratus dan dijangka siap menjelang tahun depan.

"Semua kapal dan aset kita terutama di Wilayah Laut 2 ini dapat beroperasi sebaik mungkin dan efektif dengan adanya jeti ini kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Adly meluangkan masa meninjau Op Pasir Sektor Bravo di Pulau Berhala di sini bertujuan mendapatkan gambaran lebih jelas serta terperinci mengenai aspek pengoperasian sempadan selain melihat keperluan kebajikan anggota yang bertugas di sempadan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan kepada 10 penerima dalam kalangan anggota tentera atau waris yang menghidap penyakit kronik atau orang kurang upaya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!