Myanmar lancarkan kempen seorang pelancong sebatang pokok
YANGON - Myanmar telah melancarkan kempen "Seorang Pelancong Sebatang Pokok" yang membenarkan pelancong antarabangsa menanam pokok peringatan untuk menggalakkan pelancongan yang lestari dan bertanggungjawab, kata seorang pegawai daripada Jabatan Promosi Pelancongan kepada Xinhua pada Isnin.
Inisiatif ini, yang dilancarkan bersama oleh Kementerian Hotel dan Pelancongan serta Kementerian Sumber Asli dan Pemuliharaan Alam Sekitar, bertujuan untuk mengurangkan kesan bencana berkaitan iklim, katanya.
Kempen ini menggalakkan sektor pelancongan menyumbang kepada pemeliharaan alam semula jadi dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang berkaitan dengan pelancongan, katanya.
Kempen ini akan diadakan setiap tahun dari Jun hingga November di destinasi pelancongan utama seperti Yangon, Nay Pyi Taw, tapak arkeologi Bagan, Mandalay, Tasik Inle, Pantai Ngwe Saung, dan Pantai Chaungtha, kata pegawai itu.
Dalam empat bulan pertama tahun ini, Myanmar telah menerima lebih 430,000 pelancong asing, dengan majoriti berasal dari China, diikuti oleh Thailand, melalui pengaturan visa. - Bernama- Xinhua
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!