Kambing korban 'terbang' ke atas bumbung rumah

Kambing itu akhirnya berjaya diturunkan selepas 15 minit. Foto Agensi
Kambing itu akhirnya berjaya diturunkan selepas 15 minit. Foto Agensi
A
A
A

CIANJUR - Warga Kampung Bongas, Desa Mekarjaya, Kecamatan Cempaka di Kabupaten Cianjur, Indonesia kecoh, gara-gara seekor kambing biri-biri yang bakal dikorbankan bertindak lari ke atas bumbung.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku pada Isnin ketika pemiliknya, Irpan Bayu Saputra, 44, sedang membawa dua ekor kambing biri-biri ke tempat penyembelihan pada Isnin.

Salah seekor daripadanya diikat dengan tali manakala seekor lagi 'berjalan dengan bebas' kerana didakwa sudah terbiasa dengan keadaan sebegitu.

Ketika menghampiri tempat penyembelihan dalam jarak beberapa meter, kambing yang tidak diikat tali itu melompat ke atas bumbung rumah salah seorang penduduk desa secara tiba-tiba.

Menurut Irpan, kambing biri-biri itu mungkin panik melihat orang terlalu ramai sehingga bertindak 'melarikan diri' dan 'terbang' ke atap rumah.

"Setelah hampir 15 minit berada di bumbung berkenaan, kambing biri-biri seberat 40 kilogram itu akhirnya berjaya dibawa turun oleh seorang penduduk," lapor TribunJabar.id. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: