Kasih Abdul Muqmin kepada abah

Abdul Muqmin sanggup mengetepikan hasrat dan keinginannya demi menjaga bapa yang lumpuh separuh badan akibat strok sejak 11 tahun lalu.
Abdul Muqmin sanggup mengetepikan hasrat dan keinginannya demi menjaga bapa yang lumpuh separuh badan akibat strok sejak 11 tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan mudah bagi seseorang individu untuk mengorbankan masa dan usia mudanya dalam mengejar cita-cita serta impian semata-mata mahu menjaga ibu atau bapa yang sedang sakit.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan kisah Abdul Muqmin Mazni, 23, yang sanggup mengetepikan hasrat dan keinginannya demi menjaga bapa yang lumpuh separuh badan akibat strok sejak 11 tahun lalu.

Abdul Muqmin berkata, tanggungjawab dan amanah untuk menguruskan bapanya, Mazni Abdul Hamid, 60, yang terlantar digalas sejak dibangku sekolah lagi memandangkan dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

“Sebenarnya, mak dan abah sakit serentak sewaktu saya masih bersekolah tetapi kami adik-beradik tidak mengetahui penyakit yang ditanggung mak pada waktu tersebut kerana mak merahsiakan dengan alasan tidak mahu menyusahkan kami.

“Kami hanya mengetahui mak menghidap kanser payudara tahap empat selepas terbau busuk seperti nanah dari dalam bilik mak kerana mak mahu menukar pembalut ketika itu.

“Pada awalnya saya tidak dapat menerima hakikat bahawa kedua-dua orang tua saya jatuh sakit serentak.

Saya kuatkan juga hati tetapi ALLAH SWT lebih sayangkan mak, mak meninggalkan kami enam tahun lepas,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu, dia nekad melupakan impian dan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran kerana mahu berbakti kepada bapanya selagi berkesempatan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Muqmin berkata, dia terpaksa menolak beberapa tawaran belajar kerana memikirkan kewangan dan keadaan bapa yang tidak mampu untuk menguruskan diri disebabkan pergerakan terbatas.

“Abah kerap diserang sawan menyebabkan dia tidak boleh bercakap sekarang.

Pergerakan abah juga terhad dan perlu dibantu, jadi saya ketepikan dulu niat untuk sambung belajar.

“Buat masa sekarang saya hanya mahu fokus jaga abah sahaja.

Kakak sulung ada juga bantu waktu dia cuti tetapi kalau dia kerja sehingga malam, saya seorang sahaja yang jaga.

“Rutin saya sama setiap hari yang mana pada waktu pagi saya akan tukarkan tiub kencing abah, buatkan sarapan dan makan tengah hari.

Kalau ada kesempatan saya akan buat video di TikTok untuk dapatkan pendapatan sampingan,” ujarnya.

Menurut anak kelahiran Jerteh, Terengganu itu, dia menumpang gembira melihat rakan-rakan seusianya telah berjaya meskipun segelintir memandang serong terhadap dirinya.

“Ramai yang kata saya tidak ada masa depan kerana hanya duduk di rumah menjaga abah tetapi saya tidak kisah.

Saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini dan reda dengan jalan hidup yang ditetapkan ALLAH SWT.

“Walaupun ramai yang mengecam dan berkata buruk, saya terima sahaja.

Saya hanya mampu tumpang gembira dan doakan yang baik-baik sahaja untuk mereka.

“Saya banyak buat video di TikTok untuk bantu abah.

Hasil pendapatan yang tidak seberapa ini saya gunakan untuk beli barang keperluan abah. Alhamdulillah, ada juga insan-insan lain yang turut menghulurkan bantuan,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!