Sambutan Aidiladha didik semangat berkorban demi negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RASANYA masih tidak terlewat untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

Hari lebaran yang penuh indah ini seharusnya menjadi peringatan terbaik buat seluruh umat Islam, terutama kepada diri penulis sendiri.

Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kesihatan dan keamanan yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

Dengan nikmat yang begitu besar ini, kita umat Islam di Malaysia berjaya meraikan sambutan hari lebaran tanpa ada sebarang gangguan dan sengketa.

Bukan sahaja pada kali ini, malah nikmat keamanan ini telah dicapai sejak sekian lama.

Ia perlu dipertahankan dengan seluruh jiwa raga oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Tidak seperti mana di Palestin dan beberapa negara bergolak lain, umat Islam di negara-negara terbabitt hanya meratapi kesengsaraan yang terpaksa dilalui tanpa sebarang sambutan di hari mulia.

Bukan sahaja tidak ada sambutan meriah, malah insan tersayang juga sudah tiada kerana terkorban dalam peperangan.

Artikel Berkaitan:

Bagi saudara seIslam di Palestin, tiada binatang ternakan yang boleh dikorbankan oleh mereka sempena kehadiran Aidiladha kali ini.

Malah ada di antara mereka menyatakan 'merekalah korban' di hari yang mulia Aidiladha.

Betapa pedihnya ayat tersebut diungkapkan, lebih sadis lagi bagaimana umat Islam Palestin itu sendiri menempuh hari-hari luka mereka di tanah air tercinta.

Maka beribu kesyukuran seharusnya diucapkan oleh seluruh rakyat Malaysia yang memiliki nikmat kebebasan dan keamanan beribadat kepada Yang Maha Kuasa.

Tidak ada sebarang sekatan buat masyarakat berbilang bangsa di Malaysia meraikan sambutan perayaan serta anutan agama masing-masing.

Oleh yang demikian, hargailah nikmat terbesar ini.

Jangan sesekali bertindak merosakkan hubungan baik yang telah terjalin sekian lama antara kaum dan bangsa di Malaysia.

Sikap bertolak ansur dan saling memahami perlu dikekalkan selamanya. Tiada noktah untuk perkara ini.

Dengan hanya mengekalkan keamanan dan kemakmuran, negara Malaysia yang berdaulat akan terus melakar kejayaan demi kejayaan.

Teruskan semangat berkorban demi agama, bangsa serta tanah air tercinta.

Jangan fikirkan apa yang akan diberikan oleh negara kepada kita, sebaliknya fikir apa yang boleh kita korbankan kepada agama dan negara.

Berkorban bukan hanya dengan wang dan harta, tetapi ia boleh dilakukan dengan tenaga, usaha serta masa.

Semoga dengan apa jua pengorbanan diberikan hatta sekecil mana pun ia, teruskan berkorban demi kelangsungan terbaik buat generasi mendatang.

Tanpa sebarang pengorbanan dibuat pada hari ini, mana mungkin ia akan memberi kesan kepada kesejahteraan Malaysia pada masa hadapan.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga semua pengorbanan diberikan oleh pejuang-pejuang tanah air akan terus disemat dalam diri seluruh rakyat Malaysia.

* Hisyamuddin Ayub ialah Wartawan Meja Jenayah

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!