Juruaudit sanggup tinggalkan karier demi dua anak autisme

Arni Juliana (kanan) bersama anak keduanya.
Arni Juliana (kanan) bersama anak keduanya.
A
A
A

SHAH ALAM - Memiliki karier pada usia muda merupakan impian semua, namun berbeza bagi Arni Juliana, 49, yang terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai juruaudit syarikat teknologi antarabangsa demi menjaga dua anaknya yang menghidap autisme.

Menurut Arni Juliana, selepas lebih lima tahun memegang jawatan penting dalam syarikat, dia akui mengalami kesukaran apabila terpaksa melakukan rutin harian suri rumah yang sama hampir setiap hari.

Selain itu, dia juga bimbang dengan keadaan kewangan keluarga selepas berhenti kerja kerana anak-anaknya memerlukan pelbagai rawatan susulan termasuk terapi di hospital.

Bagi ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, fokus terhadap keluarga yang berlebihan menyebabkan dia mengabaikan diri sehingga mengalami tekanan apabila tiada masa untuk berehat.

“Keputusan untuk berhenti kerja itu dibuat selepas anak bongsu disahkan menghidap ‘severe’ autisme sewaktu berusia 5 tahun manakala anak kedua saya disahkan mengalami autisme pada usia 14 tahun. Saya tiada pilihan selain berkorban berhenti kerja dan jaga anak-anak.

“Saya memang risau sebab dulu ada dua pendapatan iaitu saya dan suami. Kini hanya suami yang bekerja untuk keluarga dan pada waktu itu saya sangat bimbang dengan keadaan kewangan keluarga kerana anak-anak perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan.

“Rutin harian saya membosankan sebab hampir setiap hari buat perkara sama iaitu hantar anak ke sekolah, bertemu doktor, hadap kesesakan lalu lintas tanpa saya sedar diri sendiri terabai kerana tiada masa untuk berehat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, menurut Arni Juliana, cabaran membesarkan zuriat istimewa memerlukan kesabaran lebih-lebih lagi anak bongsunya mempunyai sikap agresif, selain pertuturan manakala anak kedua mengalami masalah komunikasi.

Artikel Berkaitan:

Perihal tersebut menyebabkan dia dan suami perlu mengambil pendekatan berbeza dalam mendidik, namun Arni Juliana tidak berputus asa demi menjaga kedua-dua anak syurganya itu.

“Anak sulung saya mengikuti proses pembelajaran sama seperti orang lain. Tetapi anak kedua dan ketiga sedikit berbeza. Kita kena ambil pendekatan mengikut kesesuaian. Walaupun belum sepenuhnya berjaya tetapi Alhamdulillah ada perubahan.

“Kadangkala saya berasa serba salah kerana sebelum ini tumpuan diberikan penuh kepada pekerjaan sehingga mengabaikan anak-anak dan keadaan mereka semakin teruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arni Juliana berkata, menerusi pembacaan dan juga sokongan daripada suami serta keluarga menguatkan lagi semangatnya untuk menempuh ujian tersebut.

Tambahnya, kini kehidupan semakin tenang malah mereka sekeluarga boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama selain melihat perkembangan anak-anak yang semakin aktif.

Menurutnya, hasil daripada usaha tersebut anak keduanya, Hannah berjaya mendapatkan pekerjaan selain kemahiran komunikasi yang lebih baik berbanding dahulu.

“Proses ini saya akui bukan mudah tetapi dengan sokongan suami dan keluarga termasuk mertua bukan sahaja membantu tetapi menguatkan kami untuk sama-sama bersabar tempuhi ujian ini.

“Selain itu pendidikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak syurga ini sangat penting bukan menonton atau baca di platform media sosial sahaja, tetapi dapatkan pandangan daripada pakar atau profesional," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!