Status Mbappe berdepan Belanda timbulkan persoalan

Mbappe - Foto: Agensi
Mbappe - Foto: Agensi
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Sepak Perancis (FFF) mengesahkan kapten Les Bleus, Kylian Mbappe mengalami patah hidung ketika juara dua kali itu menang 1-0 ke atas Austria dalam aksi pembukaan Kumpulan D Euro Jerman 2024 di Dusseldorf Arena awal pagi tadi.

Pemain berusia 25 tahun itu antara nama terbesar dalam kejuaraan berprestij Eropah mengalami kecederaan selepas berlanggar bahu dengan pemain pertahanan Austria, Kevin Danso ketika mencabar tandukan.

Mbappe kemudiannya digantikan dengan Olivier Giroud pada minit ke-90 sebelum meninggalkan stadium dengan ambulans untuk menjalani X-ray.

"Kylian Mbappe mengalami patah hidung semasa separuh masa kedua perlawanan Austria menentang Perancis di Duesseldorf Arena pada Selasa.

"Kapten pasukan Perancis itu awalnya dijaga kakitangan perubatan dan doktor Franck Le Gall, yang mendiagnosis patah hidung. Diagnosis disahkan semasa pemeriksaan radiologi di hospital Duesseldorf.

"Kylian Mbappe telah kembali ke kem asas pasukan Perancis. Dia akan menjalani rawatan dalam beberapa hari akan datang tanpa menjalani pembedahan serta-merta," kata kenyataan itu.

Perancis membuka gelanggang Euro dengan langkah kanan apabila gol sendiri pemain pertahanan Austria, Maximilian Wober minit ke-38 mengesahkan tiga mata buat anak buah Didier Deschamps ke atas Burschen kendalian bekas pengendali sementara Manchester United dari Jerman, Ralf Rangnick.

Perancis yang akan berdepan Belanda di Red Bull Arena Leipzig pada Sabtu menyaksikan Mbappe kini dalam keraguan bagi pertembungan berprofil tinggi itu.

Artikel Berkaitan:

"Topeng akan dibuat bagi membolehkan pemain nombor 10 Perancis itu mempertimbangkan untuk meneruskan pertandingan selepas tempoh yang dikhaskan untuk rawatan," kata FFF.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!