Jurulatih Belgium kecewa keputusan VAR
PENGENDALI Belgium, Domenico Tedesco mengakui kecewa dengan keputusan kontroversi Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menyebabkan pasukannya tewas mengejut 1-0 kepada Slovakia pada aksi pembukaan Euro 2024.
Belgium mungkin boleh mencatatkan keputusan seri jika jaringan lewat Romelu Lukaku dibiarkan.
Selepas terlepas banyak peluang, Lukaku merembat masuk hasil hantaran lintang Lois Openda pada minit ke-86 namun dibatalkan selepas semakan semula VAR.
Lukaku juga mempunyai gol awal yang dibatalkan kerana ofsaid apabila dia menjaringkan gol dari tandukan Amadou Onana.
"Sukar untuk bercakap. Jika kami menang, saya boleh memberitahu anda lebih lanjut mengenai pendapat saya. Tetapi kami kalah dan saya mahu dilihat sebagai pengurus yang adil jadi saya tidak mahu berkata apa-apa.
"Kami perlu mempercayai mereka. Saya mempercayai VAR. Jika mereka memutuskan ia adalah bola terkena tangan, kami perlu menerimanya," katanya.
Kekalahan pertama Belgium dalam 15 perlawanan menamatkan rekod tanpa kalah Tedesco sejak dia menggantikan Roberto Martinez.
"Bagi saya ia sangat menyakitkan malam ini. Saya tidak mahu menuding jari kepada orang. Anda boleh pastikan kami akan bercakap tentang banyak perkara tetapi kami akan melakukannya secara dalaman dan bukan melalui media.
"Saya tahu kami akan tewas satu hari nanti tetapi malangnya hari ini. Sejujurnya tidak banyak yang boleh saya katakan kepada pasukan untuk diperbaiki.
"Kami mencipta banyak peluang, peluang besar. Sudah tentu jika kami mengambil satu, maka ia menjadikan permainan lebih mudah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!