Pemilik burung kakak tua tawar ganjaran RM6,000

Muhammad Haziq bergambar bersama Ujin (kanan) yang hilang dan seekor burung kakak tua milik rakannya baru-baru ini.
Muhammad Haziq bergambar bersama Ujin (kanan) yang hilang dan seekor burung kakak tua milik rakannya baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik burung menawarkan ganjaran RM6,000 kepada mana-mana individu yang menemui burung kakak tua miliknya selepas hilang sejak enam hari lalu.

Muhammad Haziq Aminuddin, 30, berkata, burung kakak tua miliknya itu hilang selepas dikejar burung helang ketika aktiviti terbang bebas yang dilakukan di kawasan sawah padi berhampiran kilang beras di Changkat Lada, Seberang Perak pada 12 Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, burung tersebut terbang ke arahnya namun melarikan diri selepas panik dikejar seekor burung helang yang berada di lokasi berkenaan.

"Secara tiba-tiba burung ini pergi ke arah lain sebelum menghilang. Jadi saya amat bimbang kerana masih tidak ditemui sehingga ini. Burung ini amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi. Burung ini baru empat bulan saya pelihara, sebab itulah saya tawarkan ganjaran RM6,000.

"Jadi, sesiapa yang menemui burung ini tolonglah pulangkan sebab kalau tidak dijaga dengan baik ia akan mati. Hubungi saya jika terjumpa burung kakak tua ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Haziq berkata, aktiviti terbang bebas itu bukanlah pertama kali dilakukan kerana lebih 20 kali dibuat untuk melatih burung itu pulang sendiri selain memberi kebebasan kepada haiwan tersebut.

Muhammad Haziq menawarkan ganjaran RM6,000 kepada sesiapa yang menemui burung kakak tuanya.
Muhammad Haziq menawarkan ganjaran RM6,000 kepada sesiapa yang menemui burung kakak tuanya.

Menurut pemilik ladang kelapa sawit itu, pada kaki burung kakak tua tersebut diletakkan penanda yang tertera nombor telefonnya supaya mudah dihubungi sesiapa yang menemuinya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, burung kakak tua yang diberi nama Ujin itu merupakan satu-satunya burung yang dipelihara kerana minat dan menjadikan aktiviti bersama haiwan tersebut sebagai hobi.

Dia menjelaskan hebahan mengenai kehilangan haiwan tersebut sudah pun dibuat menerusi pelbagai platform media sosial selain turut mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang memelihara burung jenis tersebut.

Kata Muhammad Haziq, setakat ini laporan polis terhadap kehilangan tersebut belum dibuat dan jika masih belum ditemui dalam masa terdekat, laporan tersebut akan dibuat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan burung kakak tua itu boleh menghubungi Muhammad Haziq di talian 011-36027006.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!