Cari masa baca al-Quran setiap hari
IPOH - Ahli Rumah Ngaji perlu menjadi contoh terbaik kepada komuniti setempat dalam usaha memperbanyakkan amalan membaca al-Quran.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, hanya dengan membaca al-Quran, seseorang Muslim itu dapat belajar memahami dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
"Pentingnya kita di Rumah Ngaji untuk membaca al-Quran. Carilah masa dan lawanlah rasa malas dalam diri.
"Jika tidak dapat membacanya pada waktu siang, maka bacalah pada wkatu malam asalkan ia dijadikan satu amalan setiap hari.
"Dengan membacalah, kita dapat memahami dan seterusnya mengamalkan apa sahaja yang ditadaburkan daripada al-Quran itu," katanya sempena program Arafah #QuranHour anjuran penggerak Rumah Ngaji Perak dan Rumah Ngaji Fatiah di sini.
Bertemakan ‘Reset Takwa’, edisi kali ini yang diadakan serentak di seluruh negara pada Ahad lalu mengangkat dua surah utama iaitu al-Jumu’ah dan al-Hajj sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah, Makkah.
Beliau berkata, program berkenaan juga menjadi bukti betapa penggerak di setiap Rumah Ngaji sanggup berkorban masa agar sama-sama dapat mengimarahkan dan memperoleh ilmu.
"Walaupun tidak mengerjakan haji, kita sama-sama mengambil keberkatan daripada ibadah ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!