Keracunan makanan Gombak: 15 termasuk pengusaha katering dirakam keterangan
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mereka yang dipanggil terdiri daripada ahli keluarga mangsa, pakar patologi, penyedia makanan dan pembekal.
"Sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu dirakam keterangan setakat ini dalam membantu siasatan adalah seramai 15 individu dan tindakan hari ini untuk merakam keterangan mangsa-mangsa keracunan yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Rabu lepas, polis telah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan dalam kejadian keracunan makanan di Gombak, di sini.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) juga sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu berhubung kejadian keracunan makanan pada Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak itu yang melibatkan 30 sekolah rendah pada 8 Jun lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin sebelum ini dilaporkan berkata mana-mana individu berkaitan yang mengalami gejala diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan bagi mengelak komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.
Sebelum ini jabatan itu memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang dikesan mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan makanan pada program tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!