Perbuatan dinilai ikut niat kita

A
A
A

ADA satu kaedah Fiqah yang berbunyi ‘Asal sesuatu itu adalah halal melainkan jika ada dalil yang mengharamkannya.’ Apa yang diharamkan dalam Islam memang dinyatakan dengan jelas sama ada dalam al-Quran ataupun dalam hadis atau dalam kedua-duanya sekali. Jika merujuk kepada makanan, apa yang diharamkan itu boleh dibilang dengan jari berbanding dengan yang dihalalkan untuk kita.

Dalam Islam, malah dalam beberapa agama lain antaranya Yahudi, memakan khinzir adalah dilarang. Pengharaman khinzir ini memang jelas dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Maidah, ayat 3.

Berbalik kepada kaedah Fiqah yang saya sebut di atas, adakah ianya boleh dijadikan sandaran kepada keharusan daging khinzir palsu? Adakah kerana ia diperbuat daripada bahan sayuran menjadikannya halal meskipun rasanya sama seperti babi dan teksturnya pun menyerupai babi?

Dalam kitab Al-Wajiz fi Usul al-Tasyri’ al-Islami karangan Dr Muhammad Hasan Hito, beliau menyatakan bahawa kaedah tersebut merujuk kepada apa yang telah ALLAH ciptakan di bumi ini adalah halal melainkan apa yang dinyatakan dengan jelas tentang pengharamannya. Kaedah ini tidak boleh diguna pakai untuk memberi hukum kepada ‘perbuatan manusia’.

Malah, kaedah yang perlu diterima pakai untuk menghukum perbuatan manusia ialah adalah ‘hukum asal perbuatan mukallaf (Muslim yang cukup syarat untuk terima tanggungjawab) adalah tertakluk kepada hukum syarak.’ Maksudnya di sini, apa apa yang hendak dilakukan oleh seorang Muslim mesti mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Merujuk kepada isu daging khinzir palsu yang dikatakan dibuat daripada sayur-sayuran, saya ingin kita semua berfikir apa sebenarnya yang mendorong kita sebagai Muslim untuk melakukan perbuatan memakan daging palsu tersebut? Para ulama terdahulu telah membincangkan hukum orang Islam minum air tetapi dalam hati dan fikirannya dia membayang minum arak. Para ulama telah memutuskan perbuatannya itu haram.

Rasulullah SAW telah menyatakan secara jelas kepada kita dalam sebuah hadis berkaitan niat yang mana maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niatnya.” Ini bermakna perbuatan seharian kita dinilai ikut niat kita. Jika kita lalukan sesuatu perkara dengan niat yang selari dengan hukum-hakam Islam, maka Islam tidak ada halangan ke atas kita untuk meneruskan perbuatan tersebut.

Tetapi sekiranya perbuatan itu dilakukan atas niat yang tidak selari dengan ajaran Islam, maka perbuatan itu dikira sudah lari daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Islam dan tentu sekali kita sebagai Muslim sepatutnya menjauhi perbuatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bayangan

Dalam konteks memakan daging khinzir palsu ini, adakah kita memakannya kerana dia sayur atau kerana ingin mencuba bagaimana rasanya khinzir? Saya yakin bahawa apa yang memotivasikan seorang penganut agama yang melarang daging khinzir ini tiada niat lain melainkan ingin tahu apa rasa khinzir itu. Dan ini akan membawa kepada bayangan bahawa mereka sedang memakan daging khinzir.

Islam adalah agama yang bukan sahaja menjaga luaran Muslim tetapi yang penting hati dan fikirannya juga dijaga agar terarah kepada yang baik-baik sahaja dan selari dengan ajaran Islam. Dengan kata lain, luaran dan dalaman seorang Muslim mesti bersih daripada sebarang perkara yang tidak baik. Ini kerana hati dan pemikiran itu yang akan mendorong perbuatan seseorang. Jika hati dan perasaan sudah terbiasa dan menerima daging khinzir untuk dimakan, tidak mustahil rasa 'geli' (sekurang-kurangnya) yang ada dalam diri selama ini akan terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya sudah tiada lagi pagar dalam diri untuk menghalangnya memakan daging khinzir yang sebenar.

Oleh itu, saya melihat kita sebagai orang Islam perlu berhati-hati dalam dunia sekarang yang penuh dengan kepalsuan. Jangan kepalsuan itu menjadikan kita Muslim palsu yang tidak lagi menyandarkan perbuatan seharian kita kepada hukum syarak.

Akhir kalam, jangan kita ikut rentak orang yang cuba menarik kita untuk mencuba daging khinzir palsu atas alasan ianya diperbuat daripada sumber halal. Jati diri Muslim perlu dipertahan dan dikekalkan hingga akhir hayat. Wallahuaklam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!