Bolehkah lakukan korban waktu malam?
MEMASUKI hari kedua Hari Raya Aidiladha, ibadah korban masih lagi rancak dilaksanakan di kebanyakan tempat.
Lazimnya, proses sembelihan dilakukan pada waktu siang. Sejak awal pagi lagi, orang ramai sudah bekerja keras menumbangkan haiwan korban, sebelum menyembelih, melapah dan mengagihkannya kepada golongan fakir miskin serta lain-lain secara adil.
Barangkali disebabkan prosesnya yang lama membuatkan ramai memilih untuk menyempurnakan ibadah itu pada waktu cerah.
Timbul persoalan, adakah ibadah korban tersebut boleh dilakukan pada waktu malam?
Merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, waktu melakukan korban pada asasnya bermula selepas terbitnya matahari pada hari al-Nahr iaitu hari ke-10 Zulhijah.
“Kadar terbitnya matahari itu boleh dikira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat Hari Raya Aidiladha) dan juga dua khutbah yang ringan yakni tidak terlampau panjang berjela-jela.
“Sekiranya haiwan korban disembelih sebelum waktu itu, maka ia tidak dikira sebagai korban, tetapi hanya sekadar sembelihan untuk mendapatkan daging semata-mata,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1061 Menyembelih Haiwan Korban pada Waktu Malam yang disiarkan dalam laman web www.maktabahalbakri.com.
Jelas beliau lagi, waktu sembelihan korban itu berterusan sehinggalah berakhirnya hari Tasyrik selama empat hari termasuk Hari Raya Aidiladha.
“Ini bermakna, penyembelihan korban boleh dilakukan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah. Menurut kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, diharuskan untuk menyembelih haiwan korban sepanjang empat hari tersebut tidak kira malam mahupun siang hari.
“Akan tetapi, makruh hukumnya andai ia dilakukan pada waktu malam,” katanya.
Ujar Zulkifli, hukum makruh itu turut dinukilkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.
“Ulama dalam kalangan Mazhab Syafie membolehkan sembelihan haiwan korban tidak kira waktu siang ataupun malam sepanjang tempoh empat hari tersebut.
“Namun, Imam Malik berpendapat, sembelihan haiwan korban pada waktu malam adalah tidak sah, tetapi ia hanya dianggap sebagai sembelihan untuk mendapatkan daging semata-mata,” katanya.
Zulkifli kemudian memetik pandangan yang ditulis dalam kitab al-Bayan fi Mazhab al-Imam asy-Syafi’e.
Kitab itu menyatakan, ibadah korban dilakukan waktu malam adalah sah.
Meskipun hukumnya sah, namun jelas agamawan itu, Al-Mawardi menyebut, menyembelih haiwan korban waktu malam adalah makruh berdasarkan kepada larangan Nabi Muhammad SAW menerusi hadis yang terdapat di dalam sanadnya ada perawi matruk (seorang yang ditinggalkan hadisnya).
Boleh jadi berlakunya kesilapan pada tempat yang disembelih disebabkan oleh kegelapan malam, ungkapnya.
“Di samping itu, menyembelih pada waktu malam menjadikan haiwan itu tersembunyi (disebabkan kegelapan malam) dan menyembelihnya ketika ia jelas kelihatan (yakni pada waktu siang) adalah lebih utama.
“Selain itu, jika sembelihan dilakukan pada waktu malam, boleh jadi orang miskin terlindung daripadanya dan daging korban sudah berubah jika ia kekal (sebegitu) sehingga waktu siang.
“Oleh sebab itu, makruh menyembelih haiwan pada waktu malam, tetapi sah berbuat demikian,” terangnya.
Seandainya kita melakukan sembelihan selepas berakhirnya hari Tasyrik iaitu terbenamnya matahari 13 Zulhijah, Zulkifli menjelaskan, ia tidak lagi dikira sebagai ibadah korban.
“Sebaliknya, ia hanya sekadar untuk mendapatkan daging semata-mata,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!