Kerajaan perlu mekanisme baharu tangani kejatuhan harga sawit
SABAK BERNAM - Kerajaan diminta mencari mekanisme membantu pekebun kelapa sawit yang terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi itu di pasaran.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit ketika ini tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Harga buah sawit ketika ini masih berada di paras rendah iaitu sekitar RM300 hingga RM330 satu tan metrik. Jika diikutkan dalam keadaan ekonomi semasa, harga ini masih belum mencukupi untuk menampung kos kehidupan rakyat.
“Kalau ikut kebiasaannya, pekebun kecil sawit mengharapkan harga jualan buah sawit melebihi RM500 satu tan metrik bagi menampung kehidupan dan menjana ekonomi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ladang Gagasan di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dicadang memperkenalkan insentif membantu pekebun kecil menangani isu kejatuhan harga sawit.
“Sebagaimana insentif diberikan kepada nelayan dan pesawah, kita harap bantuan sama dapat dinikmati pekebun kecil sawit yang berusaha meningkat pengeluaran hasil sawit negara.
“Menerusi insentif ini, sekurang-kurangnya ia memberikan pulangan keuntungan kepada pengusaha kebun kelapa sawit untuk menampung kos sara hidup,” katanya.
Abd Rahman berkata, cadangan itu termasuklah memberikan insentif hasil buah sawit bagi meningkatkan lagi pendapatan golongan itu.
“Misalnya, insentif ini diberikan mengikut hasil jualan pengeluaran buah sawit sama ada RM10 hingga RM20 bagi setiap tan metrik. Jika pekebun sawit berjaya mengeluarkan hasil 10 tan metrik, ini bermakna mereka diberikan insentif sebanyak RM100.
“Kita yakin, kaedah ini secara tidak langsung memberi galakan kepada pekebun kecil untuk meningkatkan lagi pengeluaran pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!