Atlet Palestin bersemangat sertai Sukan Olimpik 2024
PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach menghubungi Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin dan Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Palestin, Jibril Rajoub pada Isnin bagi membincangkan persiapan atletnya untuk menyertai Sukan Olimpik di Paris bulan depan.
Semasa sesi perbualan itu, Rajoub menegaskan keazaman para atlet Palestin untuk menyertai kejohanan berkenaan meskipun berdepan kesukaran, lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA).
Para atlet yang dijangka menyertai Sukan Olimpik terpaksa menjalani sesi latihan di luar Palestin susulan situasi meruncing di Gaza akibat pencerobohan berterusan Israel.
Rajoub turut memberi taklimat kepada Bach mengenai pencabulan terhadap hak sukan Palestin oleh Israel, selain pelanggaran yang dilakukan oleh beberapa atlet Israel dan institusi sukan rasminya.
Beliau berkata, Olimpik Palestin akan menyediakan laporan lengkap kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang mendokumentasikan semua pelanggaran itu.
Sementara itu, Bach menyuarakan hasrat agar atlet Palestin termasuk dari Gaza dapat menyertai Sukan Olimpik bersama-sama atlet lain di seluruh dunia.
Beliau turut menyatakan sokongannya kepada atlet Palestin di tengah-tengah kesukaran yang dihadapi. - Bernama-Wafa
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!