KPDN serbu peniaga jual LPG melebihi harga kawalan

KPDN telah menyita dokumen dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual melebihi harga kawalan ditetapkan. Foto ihsan KPDN
KPDN telah menyita dokumen dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual melebihi harga kawalan ditetapkan. Foto ihsan KPDN
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyita dokumen dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual melebihi harga kawalan ditetapkan.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kepada peniaga terbabit untuk mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari bekerja.

Ia susulan tindakan peniaga terbabit memberikan alasan pelarasan subsidi harga minyak diesel menjadi punca kenaikan harga LPG berkenaan.

"Pada Sabtu lalu, pasukan serbuan KPDN telah bertindak melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit di Bandar Bukit Puchong, bagi mengenal pasti harga jualan sebenar bahan bakar berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, hasil daripada uji beli mendapati, LPG berkapasiti 14kg telah dijual pada harga jualan RM34 setiap tong berbanding harga kawalan yang telah ditetapkan Kerajaan iaitu RM26.60 per tong.

Sebelum ini tular rakaman penjelasan peniaga yang terpaksa menaikkan harga LPG susulan penyasaran subsidi diesel dilaksana bermula Isnin minggu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!