138 jemaah haji Indonesia meninggal dunia di Arab Saudi

Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama
A
A
A

JAKARTA - Sekurang-kurangnya 138 jemaah haji dari Indonesia telah meninggal dunia di Arab Saudi, menurut Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah.

Konsul Urusan Haji, Nasrullah Jasam mengesahkan bahawa kematian tersebut disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk strok haba.

"Walaupun strok haba menjadi faktor penyumbang, ia tidak secara langsung menyebabkan sebarang kematian setakat ini," katanya kepada CNN Indonesia.com pada Isnin.

Walau bagaimanapun, Nasrullah menyatakan bahawa jumlah jemaah yang meninggal dunia tahun ini telah menurun dengan ketara berbanding 212 kematian pada tahun sebelumnya.

Tahun ini, Indonesia menghantar sejumlah 241,000 jemaah haji termasuk 213,320 jemaah biasa dan 27,680 jemaah khas.

Menurut CNN Indonesia.com, musim haji tahun ini di Arab Saudi telah dicirikan oleh panas melampau, dengan suhu mencecah antara 45 dan 48 darjah Celsius.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan garis panduan kesihatan yang menasihatkan jemaah untuk menggunakan payung untuk berteduh, kekal terhidrat dan berehat secara berkala untuk mengelakkan keletihan semasa menjalankan ibadah.

Usaha mengurangkan panas melampau termasuk memasang penyejuk udara penyembur air di pelbagai tempat di sepanjang laluan haji untuk membantu jemaah kekal sejuk dan segar dalam keadaan cuaca yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

Laporan juga menunjukkan kematian 14 jemaah haji dari Jordan akibat strok haba dan lima jemaah haji Iran di Makkah dan Madinah, walaupun punca sebenar kematian mereka masih belum jelas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!