Bersih minta kebebasan berhimpun, hak asasi di Sabah

Antara peserta himpunan #KamiMahuAir yang berkumpul di hadapan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 14 Jun lalu.
Antara peserta himpunan #KamiMahuAir yang berkumpul di hadapan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada 14 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) meminta kerajaan terutamanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk membenarkan kebebasan berhimpun dan menegakkan hak asasi pelajar buat seorang guru serta lapan pelajar Sekolah Alternatif di Sabah.

Ia berikutan 80 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan himpunan #KamiMahuAir pada 14 Jun lalu di hadapan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan polis bertindak menahan Cikgu Shafeeq dan pelajar sekolah berkenaan yang dikelolakan aktivis daripada Borneo Komrad.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, tiada sebab untuk pihak berkuasa menangkap guru dan pelajar yang berada di perhimpunan tersebut kerana mereka bukan penganjur utama himpunan.

Menurutnya, jika polis mahu menyiasat lebih lanjut, ia perlu berpandukan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang meletakkan tanggungjawab terhadap penganjur utama secara profesional.

“Bukan menggunakan instrumen undang-undang lain bagi tujuan intimidasi yang membentuk naratif negatif terhadap himpunan, sekali gus menjadikan guru dan pelajar Sekolah Alternatif sebagai mangsa keadaan.

Bersih
Bersih

“Bersih juga dimaklumkan bahawa polis telah memohon penambahan reman terhadap Cikgu Shafeeq tanpa memaklumkan kepada peguam yang mewakili beliau.

“Walaupun pegawai penyiasat tersebut memang tahu bahawa Cikgu Shafeeq sedang diwakili peguam dan sentiasa berhubung dengannya,” kata Bersih pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, mahasiswa dan orang awam dilihat terus berada di hadapan menara PPNS sambil melaungkan keinginan untuk menghantar memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bersih turut memaklumkan, tindakan itu jelas melanggar hak Cikgu Shafeeq di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah.

“Ini kerana orang yang disiasat (OYDS) mempunyai hak untuk diwakili peguam dan diadili secara adil serta saksama di bawah undang-undang.

“Bersih meminta supaya hak asasi Cikgu Shafeeq bersama lapan pelajar Sekolah Alternatif ditegakkan dengan membebaskan mereka agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan.

“Kegagalan berbuat demikian hanya mengukuhkan persepsi bahawa intimidasi terhadap aktivis berlaku seperti 'business as usual' di bawah Kerajaan Madani seperti pemerintahan kerajaan terdahulu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!