Lima ahli keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dituduh esok
JOHOR BAHRU - Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis 17 Mei lalu, akan didakwa pada pagi Rabu.
Polis Kontinjen Johor pada Selasa malam, mengeluarkan hebahan kepada media untuk membuat liputan kes berkenaan yang akan disebut di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pada 24 Mei lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husa berkata, kesemua suspek yang berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas tempoh reman mereka berakhir.
SOSMA membenarkan penahanan mana-mana suspek selama 28 hari tanpa perbicaraan.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Penyerang terbabit maut ditembak dalam kejadian berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!