5 pelancong warga emas meninggal dunia di Greece selepas tersilap nilai kepanasan suhu
ATHENS - Sekurang-kurangnya lima pelancong meninggal dunia di Greece dan yang lain hilang ketika suhu meningkat tinggi, menurut agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media.
"Ramai pelancong tersilap menilai usaha yang diperlukan untuk berjalan dalam pancaran langsung cahaya matahari," kata pakar kardiologi Athens Dr Thomas Giannoulis.
"Suhu boleh meningkat hingga 37 darjah di tempat teduh dan mudah mencapai 60 darjah di bawah sinar matahari. Ini meningkatkan risiko penyahhidratan serta strok haba dan bahaya ini meningkat apabila umur seseorang semakin tua," katanya lagi.
Kesemua yang meninggal dunia atau hilang adalah pelancong berusia antara 55 hingga 80 tahun.
Kes pertama melibatkan seorang wartawan British berusia 67 tahun yang hilang di Simi, di luar pantai Turkiye pada awal Jun dan mayatnya dijumpai beberapa hari kemudian.
Beliau telah tersasar dari laluan dan rebah di tempat yang sukar untuk pasukan mencari menemuinya, lapor pihak berkuasa tempatan. Dua lagi meninggal dunia di Crete.
Seorang lelaki berusia 80 tahun yang berjalan sendirian dan seorang lelaki berusia 70 tahun yang rebah di pantai dan meninggal dunia.
Di Mathraki, sebuah pulau kecil di barat Corfu, seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) berusia 55 tahun meninggal dunia semasa keluar berjalan.
Di Samos, di luar pantai Turkiye, mayat seorang lelaki Belanda berusia 74 tahun ditemukan beberapa hari selepas beliau keluar berjalan sendirian.
Di Cyclades, seorang rakyat AS telah hilang di Amorgos selama lebih seminggu selepas beliau pergi berjalan dan dua wanita warga emas Perancis hilang selepas berjalan di Sikinos minggu lepas.
Menurut laporan akhbar Greece, beberapa mangsa keluar sejurus selepas makan tengah hari dan meminum alkohol. Yang lain tidak membawa peta atau telefon pintar, atau berada di kawasan yang sukar diakses kerana ketiadaan isyarat. - Bernama-dpa
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!