BRICS wakili hampir separuh penduduk dunia

Brazil, Rusia, India dan China mewujudkan kumpulan 'BRIC'. Afrika Selatan menyertainya pada tahun 2010, menjadikannya 'BRICS'. Foto Agensi
Brazil, Rusia, India dan China mewujudkan kumpulan 'BRIC'. Afrika Selatan menyertainya pada tahun 2010, menjadikannya 'BRICS'. Foto Agensi
A
A
A

PADA tahun 2006, Brazil, Rusia, India dan China mewujudkan kumpulan 'BRIC'. Afrika Selatan menyertainya pada tahun 2010, menjadikannya 'BRICS'.

Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kemudian dijemput menjadi ahli berkuat kuasa 1 Januari 2024.

Kumpulan ini diwujudkan untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bertujuan mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

Kumpulan ini kini mempunyai populasi gabungan kira-kira 3.5 bilion, atau 45 peratus penduduk dunia.

Jika digabungkan, ekonomi ahli BRICS bernilai lebih AS$28.5 trilion iaitu kira-kira 28 peratus daripada ekonomi global.

Dengan Iran, Arab Saudi dan UAE sebagai ahli, negara-negara BRICS mengeluarkan kira-kira 44 peratus daripada minyak mentah dunia.

Bagaimanapun, kumpulan itu berpendapat bahawa negara-negara Barat menguasai badan-badan global yang penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang meminjamkan wang kepada kerajaan-kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Muka depan Sinar Harian pada Rabu.

Justeru, ia mahu melihat 'suara dan perwakilan yang lebih besar' untuk ekonomi baharu muncul.

Pada tahun 2014, negara-negara BRICS menubuhkan Bank Pembangunan Baharu untuk meminjamkan wang bagi meningkatkan infrastruktur.

Menjelang akhir tahun 2022, ia telah menyediakan hampir AS$32 bilion kepada negara-negara anggota untuk projek jalan raya, jambatan, kereta api dan bekalan air baharu.

“Ini adalah matlamat utama China untuk BRICS,” kata Profesor Padraig Carmody daripada Trinity College Dublin kepada BBC. Melalui BRICS, China juga cuba mengembangkan kuasa dan pengaruhnya terutama di Afrika, tambahnya.

Kuasa utama lain dalam kumpulan itu mempunyai tujuan yang berbeza.

“Rusia melihat BRICS sebagai sebahagian daripada perjuangannya menentang Barat, membantu ia mengatasi sekatan yang dikenakan selepas pencerobohan ke atas Ukraine,” kata Creon Butler daripada kumpulan pemikir Chatham House di London.

Brazil dan Rusia telah mencadangkan untuk mewujudkan mata wang BRICS, bagi mengurangkan dominasi dolar. Namun, perkara itu tidak dibincangkan pada Sidang Kemuncak 2023 kumpulan itu di Afrika Selatan, Ogos lalu.

Kira-kira 3.5 bilion penduduk tinggal di negara-negara BRICS sekali gus mencipta potensi ekonomi yang besar antara negara anggota.
Kira-kira 3.5 bilion penduduk tinggal di negara-negara BRICS sekali gus mencipta potensi ekonomi yang besar antara negara anggota.

Carmody berpendapat adalah tidak praktikal bagi negara-negara BRICS mencipta mata wang yang sama kerana ekonomi mereka sangat berbeza, namun mereka mungkin mempertimbangkan untuk menggunakan beberapa mata wang tertentu pada masa akan datang. - Agensi

INFO BRICS

Tahun ditubuhkan: 2006

Matlamat: Menyatukan negara-negara membangun sekali gus memberi saingan kepada kuasa politik dan ekonomi Barat

Negara anggota: Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan UAE.

Jumlah penduduk: 3.5 bilion atau 45 peratus daripada lapan bilion penduduk dunia sekarang.

KDNK: AS$28.5 trilion