Euro 2024: Croatia elak pulang awal

Zlatko Dalic. Foto EPA
Zlatko Dalic. Foto EPA
A
A
A

CROATIA mahu menyelamatkan kempen Euro 2024 dengan menyasarkan kemenangan ke atas Albania dalam perlawanan kedua kumpulan B di Volksparkstadion, Hamburg pada Rabu selepas tewas kepada Sepanyol sebelum ini.

Pasukan itu telah mengharungi kejayaan yang boleh disifatkan luar biasa sebelum ini sejak mara ke final Piala Dunia 2018 di Rusia sebelum tewas 2-4 kepada Perancis.

Anak buah Zlatko Dalic itu sedang cuba untuk mara ke fasa kalah mati dalam kejohanan utama kelima berturut-turut di Jerman, tetapi terdapat kebimbangan ia tidak mampu direalisasikan bersama ramai pemain bintang yang berada di penghujung era.

Kapten dan pemain bintang Luka Modric berusia 38 tahun, pemain sayap Ivan Perisic berusia 35 tahun dan pemain tengah Marcelo Brozovic dan Mateo Kovacic, serta penyerang Andrej Kramaric, semuanya berusia 30-an.

Purata umur 15 pemain yang beraksi ketika tewas 0-3 kepada Sepanyol pada aksi pembukaan pada 16 Jun lalu ialah 28.5 tahun.

Croatia menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2022 di Qatar dan tewas kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Liga Negara-negara tahun lepas.

“Tiada ruang untuk menyerah, segala-galanya masih dalam tangan kita.

"Sudah tentu, kami perlu menjadi lebih baik. Tugas saya untuk mengubah pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khabar angin mengenai keretakan dalam kem selepas Perisic membenarkan Bruno Petkovic mengambil penalti lewat, yang diselamatkan oleh penjaga gol Sepanyol, Unai Simon telah diselesaikan walaupun Dalic mengkritik penyerangnya secara terbuka.

"Saya rasa situasi itu sudah berakhir. Jurulatih memberitahu segala-galanya mengenai topik itu," kata pemain sayap Lovro Majer pada Isnin.

"Bruno mengambil penalti, malangnya dia tidak menjaringkan gol, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia adalah cerita yang telah selesai," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!