Saiz pasaran ekonomi luas beri keuntungan buat Malaysia
SHAH ALAM - Saiz pasaran ekonomi negara-negara BRICS yang lebih besar berbanding Kumpulan Tujuh (G7) memberi kelebihan kepada Malaysia sekiranya menyertai blok berkenaan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran ekonomi yang luas dengan populasi terbesar dunia itu secara tidak langsung menjadikan kuasa beli pengguna semakin meningkat.
“Secara logiknya China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Sebagai contoh pada tahun 2023, jumlah dagangan mencecah RM450.84 bilion sekali gus menjadikan negara Tembok Besar itu sebagai rakan dagangan terbesar untuk tahun ke-15 berturut-turut.
“Selain itu China dan India merupakan pasaran terbesar minyak sawit Malaysia dengan data import menunjukkan India pengimport utama minyak sawit, menyumbang AS$11.7 bilion (RM55.15 bilion) pada 2022 diikuti oleh China.
“Eksport minyak sawit berjumlah 15.13 juta tan pada 2023 berbanding 15.71 juta tan pada 2022 dan India kekal sebagai pasaran eksport minyak sawit Malaysia terbesar pada 2023 untuk tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014,” ujar beliau.
Katanya, situasi tersebut berbeza dengan Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas minyak sawit Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!