Pelajar perlu jadikan bidang TVET pilihan utama

Graduan TVET mudah mendapat pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian. - Gambar hiasan
Graduan TVET mudah mendapat pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian. - Gambar hiasan
A
A
A

BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah bidang yang sangat luas skop dan perspektifnya, meliputi pelbagai industri dan sektor yang berkaitan.

Melalui statistik terkini (Rujuk: TVET Madani), terdapat 12 kementerian menyediakan program-program berkaitan TVET, bermula peringkat sijil, melibatkan 686 institusi awam seluruh Malaysia.

Antara sektor yang memerlukan graduan TVET adalah automotif, pembuatan, pembinaan, elektrik dan elektronik, pelancongan, pelbagai jenis teknologi, penerbangan, perbankan, jualan, logistik, fesyen, perikanan dan lain-lain.

Melihat kepada data semasa, ia menunjukkan graduan TVET dapat memasuki alam pekerjaan yang pelbagai bergantung kepada bidang pengajian kemahiran yang diambil, sama ada bidang teknikal, kreatif atau persijilan yang memerlukan kepakaran.

Bersesuaian dengan teknologi semasa, perubahan terhadap keperluan kemahiran terkini perlu dipertimbangkan. Bidang TVET sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini disebabkan oleh keperluan industri.

Hal ini memberikan kelebihan kepada graduan TVET yang sentiasa dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan dan mengikut bidang kemahiran masing-masing.

Dunia tanpa sempadan, graduan TVET bukan sahaja menjadi pilihan majikan sebagai pekerja tetapi graduan TVET juga berkebolehan untuk menjadi seorang majikan dengan mencipta peluang pekerjaan.

Dengan pengetahuan, ilmu kemahiran dan kepakaran yang ada graduan TVET boleh mengaplikasikan kemahiran mereka untuk memulakan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh bengkel kenderaan, bengkel penyejukan dan penyamanan udara, menyediakan perkhidmatan pembinaan dan lain-lain.

Graduan TVET dilengkapkan dengan pelbagai ilmu dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri dalam menceburi bidang masing-masing. Melalui bidang TVET, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) turut ditawarkan.

Peluang-peluang ini dapat memberikan nilai tambah kepada graduan TVET dengan mempertingkatkan kemahiran atau menceburi bidang-bidang kemahiran baharu yang diminati.

Di bawah payung Kementerian Pendidikan Tinggi, terdapat empat universiti yang bernaung di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Universiti-universiti ini menyediakan peluang kepada graduan TVET menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama dengan pelbagai kursus yang ditawarkan.

Contohnya UTHM menawarkan ijazah pertama TVET dalam pelbagai program, antaranya Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan Pesawat) dengan Kepujian, Sarjana Muda Teknologi dalam Pemesinan Industri dengan Kepujian dan lain-lain.

*Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha & Inovasi dan Sastera Liberal,Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum UTHM), Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin.